Usaha Malaysia satukan pekebun kecil dipuji, keperluan mendesak tingkat pengeluaran minyak sawit dunia

LocalBusiness & Finance
6 Mar 2024 • 2:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Usaha Malaysia satukan pekebun kecil dipuji, keperluan mendesak tingkat pengeluaran minyak sawit dunia

herman

06/03/2024 - 14:56

KUALA LUMPUR 5 Mac - Inisiatif Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk menyatukan pekebun kecil bebas bagi meningkatkan hasil minyak sawit, sebagai sebahagian daripada usaha menstruktur kawasan penanaman kelapa sawit yang semakin tua di Malaysia wajar dipuji.

Pengarah Eksekutif ISTA Mielke GmbH (Oil World), Thomas Mielke berkata, cadangan itu wajar dipuji kerana sesuatu perlu dilakukan memandangkan pertumbuhan pengeluaran minyak sawit telah kehilangan dinamik yang menyaksikan pengeluaran merosot dengan ketara sejak 2019.

Memandang ke hadapan, beliau menjangkakan pengeluaran minyak sawit tahunan di negara-negara utama termasuk Malaysia dan Indonesia akan perlahan kepada 1.5 juta tan metrik atau kurang dalam tempoh 10 tahun hingga 2030 daripada purata pertumbuhan tahunan sebanyak 2.9 juta tan metrik dalam tempoh 10 tahun hingga 2020.

“Bagi tahun semasa, kami menjangkakan terdapat genangan atau sedikit penurunan dalam pengeluaran Indonesia. Bagi Malaysia, kami menjangkakan pengeluaran kekal hampir tidak berubah pada 18.6 juta tan metrik,” katanya pada Persidangan & Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit & Laurik Tahunan ke-35 (POC2024) di sini hari ini.

Media semalam melaporkan usaha Kementerian Perladangan dan Komoditi yang sedang merangka model perniagaan yang boleh dilaksanakan untuk menyatukan pekebun kecil bebas agar dapat meningkatkan hasil minyak sawit.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, model tersebut menyasarkan untuk menyatukan 214,680 pekebun kecil bebas ke dalam kelompok yang merangkumi 8,000 hingga 10,000 hektar ladang kelapa sawit, untuk diuruskan oleh ladang kelapa sawit sederhana atau estet besar.

Sementara itu, Mielke berkata, penanaman semula kelapa sawit perlu dipercepatkan bagi mengatasi isu pokok kelapa sawit yang semakin tua atau berisiko pasaran beralih kepada alternatif lain pada masa hadapan.

Beliau berkata, isu pokok tua akan dapat dilihat daripada harga kelapa sawit yang agak tinggi kerana permintaan minyak dunia akan meningkat.

"Pasaran akan bertindak balas, jika perlu dengan peningkatan penanaman dan pengeluaranbiji bunga matahari atau kacang soya di bahagian lain dunia,” katanya.

image is not available
Persidangan & Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit & Laurik Tahunan ke-35 (POC2024) berlangsung selama dua hari di ibu negara bermula semalam.

Menurut Mielke, terdapat lebih 1.7 juta hektar kawasan penanaman kelapa sawit dengan pokok berumur 19 tahun ke atas tetapi kadar penanaman semula di negara ini kekal rendah.

Katanya, kadar penanaman semula meningkat sedikit pada tahun lepas iaitu sekitar 130,000 hingga 140,000 hektar tetapi masih jauh di bawah keperluan.

"Ini adalah terlalu kurang dan kurang daripada separuh daripada cadangan penanaman semula seluas 250,000 hingga 280,000 hektar setahun.

“Jadi terdapat risiko bahawa menjelang tahun 2025, 35% atau dua juta hektar pokok kelapa sawit akan berumur lebih daripada 19 tahun. Ini adalah masalah yang perlu diselesaikan,” tambahnya.



Dalam pada itu, Pengarah Urusan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa, berkata kos minyak sawit mentah (MSM) semasa yang tinggi ketika ini tidak mampan dan menjangkakan penurunan harga antara RM3,500 dan RM3,700 pada separuh kedua 2024.

Ini kerana fasa tinggi pengeluaran minyak sawit mulai Mac dan seterusnya ditambah dengan stok tinggi di China dan India akan mengekalkan harga MSM di bawah tekanan, katanya.

“Selepas menyaksikan RM4,000 MT (tan metrik) pada suku pertama (1S2024), harga tinggi tidak akan dikekalkan jika tidak daya saing dan permintaan akan terjejas. Harga menaik untuk suku pertama, tetapi minyak sawit dijangka didagangkan lebih rendah pada suku kedua,” kata Sathia.- DagangNews.com