Usaha memperkasa wanita Sabah berterusan: Hajiji

10 Nov 2022 • 4:21 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KERAJAAN Negeri komited untuk terus memperkasa wanita di negeri ini melalui pelbagai program pembangunan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata RM5.81 juta diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan RM700,000 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) untuk melaksanakan program pembangunan modal insan untuk kesejahteraan wanita.

“Peruntukan besar ini membuktikan Kerajaan amat menghargai peranan dan sumbangan wanita secara keseluruhannya.

“Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan penting kepada wanita dalam Bajet 2023 Negeri yang akan dibentangkan nanti,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Wanita peringkat Negeri di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, pada 28 Okt.

Beliau turut melancarkan Buku Pelan Induk Pembangunan Wanita 10 tahun yang diterbitkan oleh MPWS, Jhewa dan pelbagai jabatan kerajaan, agensi serta institusi pengajian tinggi seperti UMS dan UiTM, antara lain.

Hajiji menyampaikan enam anugerah iaitu Anugerah Tokoh Wanita Sabah kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Seri Azizah Mohd Dun dan Anugerah Wanita Cemerlang kepada bekas Pengarah Muzium Negeri Joanna Datuk Kitingan, manakala Anugerah Usahawan Muda Cemerlang kepada Pengarah Urusan Raspand Motor Sdn Bhd, Datin Saadiah Abdul Rashad dan Pengarah Beautyspells Sdn Bhd Norsidayati Mustari.

Sementara itu, Anugerah Kepimpinan Luar Bandar diraih usahawan produk kraf Emily Jeneble dan Anugerah Khas Ibu Cemerlang diberikan kepada suri rumah yang berjaya membesarkan 18 anak, Raseni Suparno.

“Sebagai sebuah kerajaan inklusif, memberi lebih banyak peluang kepada wanita adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan ini sebagai pemacu utama kemajuan negara dalam membangunkan institusi kekeluargaan, mengukuhkan budaya masyarakat penyayang dan memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat di samping kaum lelaki,” kata Hajiji.

Hajiji berkata, pembangunan wanita merupakan salah satu agenda penting yang menjadi tumpuan kerajaan dalam konteks pembangunan Negeri. “Kita telah melihat kejayaan pencapaian dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang, khususnya di Negeri ini. Justeru, Kerajaan Negeri sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita dalam semua aspek.

“Wanita masih dibelenggu dengan isu biasa atau stereotaip. Ini termasuk kepimpinan, penglibatan sebagai pembuat keputusan, dan beban berganda bagi wanita bekerja untuk mengimbangi tuntutan kerja dan keluarga.

“Jurang gender yang masih ketara dalam bidang kepimpinan, politik dan pembuatan keputusan adalah satu kerugian kepada negara yang kita perlu tangani secara bersepadu dan menyeluruh. Ini kerana terdapat ramai wanita terutamanya di Sabah yang berkaliber dan berpotensi untuk memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi,” katanya.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Datuk Juliah Salag, Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, serta Pengerusi MPWS merangkap pengerusi penganjur acara, Datuk Dr. Tarsiah TZ Taman dan pengarah Jhewa merangkap penganjur bersama acara, Haslina Ismail.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.