
Usaha Mencari Jet Pejuang FA-50PH PAF Yang Hilang Diteruskan
MANILA, (Bernama) — Tentera Udara Filipina (PAF) mengesahkan pada Selasa bahawa sebuah daripada 12 jet pejuang FA-50PH miliknya dilaporkan hilang ketika menjalankan “operasi taktikal malam,” lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
“Ini satu perkembangan besar dalam PAF. Tidak lama selepas tengah malam pada 4 Mac 2025, sebuah jet pejuang FA-50 dilaporkan hilang semasa operasi taktikal malam.
Pesawat itu terputus hubungan dengan penerbangan lain yang terlibat dalam misi beberapa minit sebelum tiba di kawasan sasaran,” kata jurucakap PAF, Kolonel Ma. Consuelo Castillo, dalam sidang media di Kem Aguinaldo, Quezon City.
Beliau berkata sebuah lagi FA-50PH cuba untuk menghubungi pesawat yang hilang sehingga kembali ke Pangkalan Udara Benito Ebuen di Mactan, Cebu, namun tidak berjaya.
“PAF sedang menjalankan operasi pencarian menyeluruh dengan menggunakan semua sumber yang ada bagi mengesan jet pejuang yang hilang. Keutamaan kami ketika ini adalah keselamatan anak kapal.
Kami berharap mereka serta pesawat dapat ditemui secepat mungkin dan meminta semua pihak untuk bersama-sama berdoa dalam tempoh kritikal ini. Maklumat lanjut akan dikongsi sebaik sahaja tersedia,” katanya.
Castillo turut mengesahkan bahawa jet pejuang FA-50PH yang hilang itu membawa dua juruterbang.
Sebanyak 12 unit pesawat itu telah diperoleh daripada Korea Aerospace Industries di Korea Selatan dengan kos PHP18.9 bilion dan dihantar secara berperingkat dari 2015 hingga 2017.
“Ya, ini merupakan insiden besar pertama melibatkan pesawat pejuang kami. Namun, buat masa ini, kami belum dapat mendedahkan nombor ekor pesawat itu,” katanya.
Beliau berkata para juruterbang dilengkapi dengan pemancar lokasi peribadi yang boleh mengeluarkan isyarat bagi membantu pasukan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat.
Bagaimanapun, Castillo tidak mendedahkan sama ada pemancar itu sedang mengeluarkan isyarat pada ketika ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa FA-50PH dilengkapi dengan “kotak hitam” yang boleh membantu siasatan dalam menentukan punca sebenar kejadian.
Pesawat yang hilang itu ditugaskan untuk memberikan “sokongan biasa” kepada operasi yang dijalankan oleh Kawalan Bersatu.
FA-50PH mempunyai kelajuan maksimum Mach 1.5 atau satu setengah kali kelajuan bunyi serta mampu dilengkapi dengan peluru berpandu udara ke udara, termasuk AIM-9 “Sidewinder” yang berpandukan haba, selain meriam automatik ringan.
Sumber: Bernama
The post Usaha Mencari Jet Pejuang FA-50PH PAF Yang Hilang Diteruskan appeared first on Siakap Keli.


