
KOTA TINGGI: Kerajaan berusaha untuk mempercepat kerja-kerja pascabanjir terhadap 17 sekolah yang terjejas di Johor supaya sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024 yang dijadual pada 19 Mac ini dapat dijalankan seperti biasa.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata koordinasi antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan agensi lain sama ada Persekutuan dan daerah, akan dilakukan supaya kerja-kerja pascabanjir dilakukan segera sekali gus memastikan pelajar dapat meneruskan sesi persekolahan dalam suasana yang lebih kondusif.
“Bagi 17 sekolah ini, biarpun ia hanya guna premis-premis sementara (di sekolah), tetapi koordinasi akan dilakukan tentunya dengan NADMA, APM dan beberapa agensi lain bersama-sama dengan JPBN dan daerah.
“Paling penting, pelajar boleh terus belajar, walaupun mungkin tidak terlalu kondusif keadaannya, tetapi kita akan ikhtiar supaya dapat diselesaikan segera mungkin,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) di Ibu Pejabat KEJORA, Bandar Penawar di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah yang akan diambil kerajaan bagi membantu 17 sekolah di Johor yang terjejas akibat banjir susulan pembukaan sekolah di negeri ini pada 19 Mac.
Pada 6 Mac lepas, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan tiada penangguhan sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024 yang dijadual pada 19 dan 20 Mac ini di negeri yang terjejas banjir.
Fadhlina dilapor berkata terdapat 17 sekolah terjejas teruk akibat banjir di Johor dan Segamat yang paling teruk terkesan iaitu 14 sekolah manakala daerah lain, tiga sekolah.
Menurut Fadhlina, sekiranya kerja-kerja membaik pulih sekolah terjejas akibat banjir tidak sempat dilaksanakan sebelum tarikh berkenaan, pelajar akan diberi pilihan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Sementara itu, berhubung situasi banjir termenung di Batu Pahat yang mengakibatkan air lambat surut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerja-kerja mengepam air keluar dari kawasan terlibat banjir telah mula dilakukan.
“Kerja-kerja pam telah pun dijalankan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengumumkan RM50 juta geran untuk kerajaan negeri bagi membeli peralatan dan Menteri Besar telah hantar permohonan (peruntukan) setebal 300 muka surat, dan insya-Allah kita akan tangani satu persatu,“ katanya.
Setakat 12 tengah hari tadi, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan seramai 42,706 orang dengan Batu Pahat mencatatkan jumlah teramai iaitu 39,944 orang. - Bernama

