ZETRIX AI Berhad (Zetrix AI) mengumumkan usaha samanya di Filipina, MYEG Philippines, Inc. (MYEG PH) menandatangani perjanjian dengan beberapa entiti kerajaan bagi menyediakan perkhidmatan pembayaran digital.
Sejak mula beroperasi pada 2017, MYEG PH menyediakan kemudahan pembayaran digital kepada rakan kongsi kerajaan yang semakin berkembang dari tahun ke tahun, dan momentum ini berterusan sehingga 2026.
Terkini untuk kemudahan rakyat Filipina, lebih banyak perkhidmatan e-kerajaan utama sedang diintegrasikan ke dalam platform MYEG PH menerusi perjanjian antaranya Memorandum Perjanjian Kuadripartit bersama Suruhanjaya Kawal Selia Profesional (PRC), Biro Perbendaharaan dan Bank Tanah Filipina.
Berikutnya, Memorandum Perjanjian bersama Lembaga Pelabuhan Filipina (PPA) dan Memorandum Perjanjian bersama Biro Perikanan dan Sumber Akuatik (BFAR).
Ketua Pegawai Eksekutif MYEG PH, Ann Margaret Saldaña berkata, kerjasama ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha MYEG PH untuk membantu mempercepatkan transformasi digital perkhidmatan kerajaan di Filipina.
“Melalui Sistem Pembayaran dan Kutipan Elektronik, kami akan menyediakan penyelesaian pembayaran yang lebih senang diakses, selamat dan mudah digunakan kepada rakyat Filipina serta menyokong agensi kerajaan dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan pengalaman penggunaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Ann Margaret, Perjanjian Kuadripartit misalnya membolehkan EPCS MYEG PH diintegrasikan ke dalam Sistem Maklumat Peperiksaan dan Pendaftaran Lesen yang disediakan oleh Suruhanjaya Kawalselia Profesional.
“Integrasi ini memudahkan pembayaran yuran PRC bagi pelbagai perkhidmatannya serta menjadi perintis dalam pelaksanaan Duti Setem Elektronik untuk PRC yang merupakan agensi pelesenan dan kawal selia kerajaan persekutuan bagi amalan profesion terkawal.
“Kerjasama ini turut mengeratkan hubungan antara keempat-empat institusi bagi memperkasa pendigitalan perkhidmatan kerajaan serta menawarkan kepada rakyat penyelesaian pembayaran yang lebih cepat, mudah dan senang diakses bagi transaksi PRC mereka, sekali gus menjadikan proses pembayaran lebih lancar bagi golongan profesional dan bakal profesional di seluruh negara," katanya.
Rakyat Filipina kini boleh membayar yuran PRC, termasuk yuran eDST yang diwajibkan bagi perkhidmatan seperti permohonan peperiksaan pelesenan, pendaftaran awal, pembaharuan lesen, pensijilan, dan banyak lagi melalui EPCS MYEG PH.
Pada masa sama, pemeteraian MOA bersama PPA bakal mengintegrasi EPCS MYEG PH ke dalam Portal e-Pembayaran PPA. Melalui integrasi ini, lebih daripada 100,000 saluran pembayaran EPCS MYEG PH di seluruh negara akan terbuka kepada pihak berkepentingan pelabuhan untuk membuat pembayaran berkaitan pelabuhan secara dalam talian dengan mudah.
Sementara itu, pemeteraian MOA bersama BFAR, agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan, penambahbaikan, pengurusan serta pemeliharaan sumber perikanan dan akuatik Filipina, turut memperluas peranan MYEG PH dalam menghubungkan dan menyokong lebih banyak agensi utama kerajaan melalui sistem pembayarannya yang menerajui pasaran.
Hasil semua kerjasama ini memperluas ekosistem bagi menyokong usaha kerajaan negara itu menyelaraskan proses dan mempercepatkan penggunaan penyelesaian digital merentas agensi, sekali gus meningkatkan kebolehcapaian, ketelusan dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat dan perniagaan.



