amree12/11/2026 - 09:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Perjalanan dari Gombak ke Kuala Terengganu yang hanya mengambil masa tiga jam menerusi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal membuka potensi baharu kepada sektor perniagaan, logistik dan pelancongan negeri itu menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027 (TMT 2027).
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkhidmatan ECRL yang dijadualkan memulakan operasi pada pertengahan Disember 2026 dijangka turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri tersebut.
Sehubungan itu, kerajaan negeri menggalakkan usahawan dan pemilik perniagaan di Terengganu agar segera merebut peluang daripada rangkaian rel baharu berkenaan, khususnya dalam pengangkutan barangan dan perluasan aktiviti perniagaan merentasi lokasi berbeza.
"ECRL juga diyakini mampu merancakkan sektor pelancongan Terengganu dengan menyediakan pilihan perjalanan yang lebih mudah dan fleksibel kepada pengunjung dari luar negeri," katanya Ahmad Samsuri selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu.
Kemudahan itu ujar Ahmad Samsuri dijangka menyokong pelaksanaan TMT 2027 yang menyasarkan ketibaan lebih 15 juta pelancong ke Terengganu, sekali gus membuka potensi pertumbuhan kepada pemain industri pelancongan, pengusaha penginapan dan perniagaan tempatan.

Tambah beliau, kerajaan negeri berkenaan sudah mengadakan perbincangan dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi memastikan kemudahan serta perkhidmatan sokongan di sekitar stesen ECRL dibangunkan secukupnya untuk menampung kehadiran pelancong dan pengunjung.
Perbincangan itu turut merangkumi pembangunan kawasan sekitar stesen menerusi konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD) bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat memberi manfaat lebih luas kepada pelancong, penduduk setempat dan komuniti perniagaan.
"Dari segi rangkaian, jajaran ECRL sepanjang 242 kilometer di Terengganu merangkumi enam stesen iaitu Chukai, Kemasik, Dungun, Kuala Terengganu, Bandar Permaisuri dan Jertih," kata Ahmad Samsuri.
ECRL juga jelas beliau, dijangka mengurangkan tempoh perjalanan antara Pantai Timur dengan Lembah Klang, dengan perjalanan dari Gombak ke Kuala Terengganu dianggarkan sekitar tiga jam, manakala perjalanan ke Kota Bharu mengambil masa kira-kira empat jam.
Pelaksanaan ECRL dijangka bukan sahaja meningkatkan kemudahan perhubungan, malah membuka ruang kepada pembangunan ekonomi baharu di sekitar stesen, khususnya menerusi aktiviti perdagangan, pengangkutan dan pelancongan yang dapat dimanfaatkan oleh usahawan serta penduduk Terengganu. - DagangNews.com





