
BUKIT MERTAJAM: Seorang usahawan wanita telah bermurah hati mengagihkan 400 kampit beras 10 kilogram (kg) kepada golongan kurang mampu termasuk pekerja pembersihan dan penghantar makanan.
Agak berbeza dengan dermawan lain, beliau yang mengusahakan perniagaan tudung memilih untuk turun sendiri mendekati penerima di tempat terbuka namun mengekalkan kerahsiaan identiti dengan hanya mahu dikenali sebagai ‘Az Pemurah’.
Az Pemurah yang berusia 40 tahun berkata usaha itu dimulakan beliau sejak lebih setahun lepas kerana prihatin dengan nasib golongan berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi kalangan mereka yang memikili keluarga besar, ditambah dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi.
“Sumbangan ini adalah hasil keuntungan syarikat dan memang setiap bulan saya sudah asingkan 30 peratus untuk dikongsi dengan golongan kurang mampu.
“Kebiasaanya bantuan diberikan dalam bentuk barangan keperluan asas dan wang tunai dengan mengutamakan mereka yang bekerja kerana saya tidak mahu biasakan orang untuk meminta tanpa berusaha, namun jika ada yang benar-benar memerlukan sudah tentu kita akan bantu juga,“ katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Usahawan yang mempunyai lebih 1 juta pengikut di Tiktok itu berkata niatnya berkongsi video di media sosial adalah kerana mahu ia dijadikan inspirasi kepada mereka lain yang berkemampuan untuk melakukan perkara sama, agar sekurang-kurangnya dapat meringkankan beban golongan kurang mampu meneruskan kehidupan seharian.
Az juga memberitahu akan terus merahsiakan identiti kerana baginya identiti tidak penting, sebaliknya niat dan keihklasan itu yang utama apatah lagi jika ia mampu diteladani orang lain.
Sementara itu, pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Mohd Solihin Ahmad jelas terkejut ketika didatangi usahawan berkenaan ketika sedang melalukan kerja-kerja mengangkut sampah di Bandar Perda hari ini.
“Tak pernah lagi ada orang datang mengejut bagi sumbangan ketika sedang buat kerja...ini kali pertama. Syukur dan terima kasih atas perkongsian rezeki ini, tak sangka masih ada yang prihatin dan menghargai kerja kami,“ katanya.
Bagi ibu tunggal, Normah Mat Nayan, 50, pula sumbangan beras yang diterima amat bermakna memandangkan dia kini hilang tempat bergantung selepas suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua tahun lepas.
“Sebelum ini suami bantu beri modal untuk saya berniaga sate secara kecil-kecilan, tetapi selepas dia meninggal ditambah dengan kenaikan harga barang, saya tak dapat lagi nak teruskan perniagaan.
“Kini saya hanya bergantung dengan wang yang diterima daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM1,364, wang itulah digunakan untuk persekolahan dua anak, bayar sewa rumah dan makan jadi, saya berterima kasih kepada AZ Pemurah kerana bagi bantuan beras,“ katanya. -Bernama


