Usahawan Sarawak lancar PetrolPrice, platform pintar pantau harga minyak di 196 negara disokong pengasas Network School

WorldTechnology
6 Aug 2026 • 3:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Usahawan Sarawak lancar PetrolPrice, platform pintar pantau harga minyak di 196 negara disokong pengasas Network School Image from: Usahawan Sarawak lancar PetrolPrice, platform pintar pantau harga minyak di 196 negara disokong pengasas Network School hamden06/08/2026 - 15:13 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Usahawan Sarawak, Aaron Nagai melancarkan PetrolPrice, sebuah platform pintar pemantauan harga minyak berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menjejak, mengesahkan dan menganalisis harga bahan api di 196 pasaran di seluruh dunia.

 

Syarikat pemula itu turut menerima pelaburan daripada Balaji Fund yang diasaskan oleh Balaji Srinivasan, pengasas Network School dan bekas Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Coinbase.

 

Balaji Srinivasan baru-baru ini menjadi perhatian apabila cabang Network School di Forest City, Johor diarah tutup selepas pihak berkuasa tempatan membatalkan lesen perniagaan susulan dikaitkan dengan isu kehadiran warga Israel.

 

Pelaburan Balaji Fund itu meletakkan penilaian PetrolPrice pada AS$2 juta selepas melengkapkan pusingan pembiayaan pra-benih (pre-seed).

 

PetrolPrice Meningkatkan Ketelusan Data

Diasaskan oleh Nagai, PetrolPrice yang dikuasakan teknologi AI, dibangunkan bagi meningkatkan ketelusan data harga komoditi tenaga utama seperti petrol, diesel dan elektrik.

 

Platform itu bertujuan menyediakan maklumat harga tenaga yang lebih mudah diakses dan dipercayai untuk kegunaan pengguna, syarikat perniagaan serta pembuat dasar dalam membuat keputusan yang lebih tepat.

 

Menurut Nagai, harga minyak memberi kesan secara langsung kepada kehidupan harian berbilion penduduk dunia, namun data harga tenaga global masih berpecah-pecah dan sukar diperoleh.

 

"Matlamat kami adalah membangunkan platform risikan tenaga paling komprehensif di dunia dengan menjadikan maklumat harga tenaga semudah diakses seperti data pasaran kewangan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam pada itu, sokongan pelaburan daripada Balaji Fund dilihat mengukuhkan kedudukan PetrolPrice dalam usaha memperluaskan platform berkenaan sebagai sumber rujukan data harga tenaga di peringkat global.

 

Potensi Malaysia

Pada masa sama, pembangunan PetrolPrice turut mencerminkan potensi Malaysia sebagai hab serantau bagi pembangunan teknologi AI dan inovasi digital.

 

Melalui pembangunan teknologi bertaraf global dari Malaysia, syarikat itu berharap dapat membuktikan keupayaan bakat tempatan menghasilkan penyelesaian yang kompetitif di pasaran antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur global terhadap ekosistem syarikat pemula negara.

 

Sementara itu sebelum PetrolPrice, Balaji Fund telah melabur dalam beberapa syarikat teknologi yang berkembang pesat termasuk OpenSea, Luma dan Polymarket, selain syarikat yang membina rumusan berasaskan ekosistem blockchain seperti Ethereum, Solana dan Polygon. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved