Usahawan tani digesa berani berkembang

LocalFood
17 Jan 2026 • 1:48 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Usahawan tempatan berasaskan pertanian di negeri ini digesa supaya terus menghasilkan produk tempatan mereka.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata lebih penting lagi, produk yang dihasilkan juga dapat dipasarkan bukan sahaja di Sabah tetapi juga ke Semenanjung.

“Di bawah Kementerian saya, kita juga mempunyai agensi yang bersedia memberi panduan berkaitan untuk memastikan produk yang dihasilkan dapat dipasarkan dengan sebaiknya.

“Melalui agensi ini antaranya Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), ada cara untuk kita memasarkan produk tempatan ini,” katanya selepas melancarkan produk sambal soqot, makanan berasaskan durian merah Sabah, yang diusahakan ahli perniagaan tempatan Datuk Md Efendi di The Elopura Hotel, di sini.

Durian merah banyak ditanam di kawasan Tongod, Kinabatangan atau berdekatan. Ia juga salah satu makanan tradisi penduduk setempat dan ia kini dikenali ramai dengan rasanya yang unik.

Dalam bahasa tempatan, durian merah juga dikenali sebagai marang, alau, soqot dan beberapa nama tempatan yang lain.

Mengenai produk itu, Mohamad Sabu berkata beliau yakin ia akan mendapat sambutan dan menjadi makanan tambahan kepada penduduk di Sandakan dan seluruh negara.

Beliau memberi contoh keropok lekor yang dahulunya hanya ada di semenanjung sahaja tetapi kini pasarannya meluas dan boleh didapati atau dihasilkan di mana-mana sahaja termasuk Sabah.

Dalam pada itu, Afendi berkata idea menghasilkan produk sambal itu juga antara lain mahu mengetengahkan sambal tempatan berasaskan durian merah yang sangat terkenal kalangan masyarakat Sungai seperti makanan tradisi lain yang ada di Sabah.