Usahawan wanita Asia wajar teroka kerjasama rentas sempadan, kata Dewan Perniagaan Malaysia-China

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Usahawan wanita Asia wajar teroka kerjasama rentas sempadan, kata Dewan Perniagaan Malaysia-China Image from: Usahawan wanita Asia wajar teroka kerjasama rentas sempadan, kata Dewan Perniagaan Malaysia-China amree19/10/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt – Usahawan wanita di Asia digesa meneroka kerjasama rentas sempadan dan menterjemahkan rangkaian perniagaan kepada peluang perdagangan serta pelaburan sebenar bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serantau.

 

Pengerusi Jawatankuasa Usahawan Wanita Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC WEC), Jamie Tiew berkata, mereka bukan sekadar peserta pertumbuhan ekonomi, malah berpotensi menjadi pemangkin yang menghubungkan pasaran dan mewujudkan kemakmuran bersama.

 

Berdasarkan pengalaman 30 tahun, termasuk lebih dua dekad dalam sektor hartanah, beliau turut berkongsi perjalanan kerjayanya daripada industri perkakasan kepada hartanah, Malaysia My Second Home (MM2H) dan bidang berkaitan tenaga baharu.

 

"Kejayaan secara mampan turut bergantung kepada tahap kepercayaan, kebolehan menyesuaikan diri, pembangunan bakat dan kerja berpasukan," katanya ketika menyampaikan seruan itu menerusi ucaptama pada perhimpunan usahawan wanita Asia di Jakarta, Indonesia.

 

Beliau pada acara yang bertemakan 'Usahawan Wanita Asia Menghubungkan Perdagangan, Pelaburan dan Inovasi' itu turut menghargai usaha Persatuan Wanita Pengusaha Indonesia (IWAPI) menyediakan platform untuk membina hubungan dan meneroka peluang perniagaan.

 

Di samping itu, Tiew menggariskan tiga keutamaan untuk memperkukuh peranan usahawan wanita, iaitu membina perkongsian rentas sempadan, menerima inovasi serta memperkasa golongan tersebut melalui kepimpinan dan perkongsian ilmu. 

 

IWAPI_DagangNews2026

 

Menurut beliau, Malaysia, Indonesia dan China mempunyai kekuatan yang boleh saling melengkapi melalui kerjasama berasaskan pemahaman pasaran, penghormatan budaya dan kepercayaan jangka panjang, serta turut menggalakkan penggunaan teknologi digital.

 

"Antaranya kecerdasan buatan (AI) dan e-dagang bagi membantu perniagaan mencapai pelanggan global, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya saing. Inovasi, juga merangkumi penambahbaikan operasi, khidmat pelanggan dan penyelesaian masalah," jelasnya.

 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MCCC WEC, Dr Linea Tee menekankan kepentingan menterjemahkan peluang perdagangan kepada transaksi, dengan mencadangkan penyediaan ringkasan keperluan dagangan, termasuk spesifikasi produk, kuantiti pesanan minimum, pensijilan, penghantaran dan pembayaran.

 

Menurutnya, penilaian pembekal perlu mengambil kira kapasiti pengeluaran, dokumentasi eksport, kestabilan operasi dan khidmat selepas jualan. Proses pemadanan perniagaan pula perlu menilai spesifikasi, kapasiti, terma komersial serta risiko pelaksanaan bagi meningkatkan kerjasama.

 

Bagi mengurangkan risiko tempahan pertama, beliau mencadangkan pesanan percubaan atau kelompok kecil, piawaian penerimaan yang jelas dan pembayaran berdasarkan pencapaian. Penyelarasan komunikasi, dokumentasi dan penghantaran melalui rangkaian rentas sempadan juga penting untuk membuka laluan kepada pesanan sebenar, kerjasama berulang dan kontrak jangka panjang.

 

"MCCC WEC mahu terus menjadi penghubung usahawan wanita daripada pelbagai industri bagi meningkatkan keupayaan, meneroka pasaran baharu dan membina perkongsian bermakna. Malaysia dan Indonesia ada potensi kerjasama perdagangan, pelaburan, pelancongan, penjagaan kesihatan dan hartanah, selain peluang memperluas hubungan dengan China serta pasaran lain," katanya.

 

Persidangan Usahawan Wanita Asia ke-4 dan International Women’s Business and Investment Forum (IWBIF) 2026 dari 14 hingga 18 Oktober di Jakarta dan Bandung, Indonesia, memberi tumpuan kepada pembiayaan, kerjasama global dan transformasi digital bagi memperkukuh hubungan serantau serta membuka peluang baharu kepada usahawan wanita. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved