
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meminta UMNO dan PAS supaya tidak terus mengeruhkan hubungan di antara kedua-dua parti itu.
Beliau berkata, parti itu juga seharusnya tidak caci mencaci, tuduh menuduh atau memanggil dengan pelbagai gelaran antara satu sama lain.
“Pandangan saya, usahlah kita terus keruhkan hubungan antara UMNO dan PAS.
“Marilah kita berlapang dada dalam urusan siasah yang terdapat ikhtilaf pandangan dan pendekatan serta kekalkan sifat saling hormat menghormati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang seperti dilaporkan media kelmarin, bahawa UMNO yang mengajak kedua-dua parti itu berbincang mengenai kerjasama selepas Parlimen dibubarkan.
Menurut Zambry, hakikatnya PAS yang berkali-kali berhubung dengan pihak UMNO, malah hadir mengadakan perbincangan awal secara tidak rasmi bersama wakil parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu.
Jelasnya, atas nama ukhuwwah dan husn al-dhan (bersangka baik), Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO bersetuju bertemu Abdul Hadi.
“Selepas itu berlakulah pertemuan berikutnya. Tidaklah sampai peringkat berbincang pembahagian kerusi secara rasmi lagi. Dan Tok Guru (Abdul Hadi) kemudiannya membuat kenyataan untuk kekal bersama PN (Perikatan Nasional).
“Kami hormati keputusan itu. Dan kami tidak komen apa-apa. Melainkan apabila Tok Guru memberi hujah menolak bersama dengan BN sebab BN ‘keruh’, pihak kami pun menjawab sedikit sebanyak,” katanya yang memohon maaf kepada Abdul Hadi kerana terpaksa membetulkan kenyataan calon kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) itu.
Abdul Hadi menerusi kenyataannya itu mendedahkan, antara sebab PAS menolak kerjasama dengan UMNO di bawah Muafakat Nasional (MN) pada PRU-15, disebabkan parti terbabit didakwa masih ‘keruh’, selain mempunyai masalah dalaman.
Katanya, selain UMNO memberikan kata dua supaya PAS meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sekiranya mahu menjalin kerjasama bersama, parti itu cuba mencatur kedudukan kerusi tanpa rundingan.
Ujarnya, disebabkan pelbagai masalah yang agak rumit itu, PAS memilih PN untuk kerjasama politik berbanding MN.
“Mereka minta PAS buat keputusan dalam tempoh singkat. Kemudian cakap pula beberapa kerusi PAS di Kelantan, Terengganu dan Pahang diberi kepada UMNO. Tukar situ, tukar sana, dia yang atur kerusi kita pula,” katanya.
Pada masa sama, Abdul Hadi berkata, pihaknya sudah berusaha mengajak semua pihak, termasuk UMNO ke arah perpaduan ummah demi kebaikan negara, namun tidak dapat direalisasikan disebabkan sikap UMNO sendiri.
“Disebabkan itu kita pilih PN, bukan MN kerana dalam UMNO masih ada yang keruh, rasuah, masih dibicarakan. Kita tahu ada pemimpin bersih dalam UMNO dan mahu buat perubahan, tetapi mereka pula dicantas tak jadi calon, yang dipilih penyangak sebagai calon,” katanya. – Getaran, 4 November 2022
