USANITA tembusi pasaran Australasia, bermula di New Zealand

12/07/2025 - 11:10
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki (dua kiri) bersama CEO Usanita, Datuk Adzliana Hasan (dua kanan) pada Majlis Prapelancaran Bridge to Brilliance 4.0 Australasia di Auckland, New Zealand. Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 12 Julai – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand menyokong penuh misi USANITA Group dalam memperkasa usahawan wanita Malaysia bagi menembusi pasaran antarabangsa, khususnya di rantau Australasia.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki menyifatkan USANITA sebagai platform dinamik yang berperanan memacu penyertaan wanita dalam ekonomi rentas sempadan.
“Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand menyokong pelaksanaan program strategik oleh USANITA di New Zealand yang mencerminkan kekuatan Malaysia dalam bidang keusahawanan, budaya dan diplomasi ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan selepas Majlis Pra Pelancaran Bridge to Brilliance (BtB) 4.0: Australasia oleh USANITA di Auckland, New Zealand.
Antara program BtB 4.0 yang bakal dilaksanakan USANITA termasuk pertunjukan fesyen warisan tradisional Malaysia, sempena Hari Malaysia di Wellington, New Zealand September ini.
Selain itu, kempen “Taste of Malaysia” akan turut dianjurkan bagi mempromosikan produk halal usahawan Malaysia manakala tayangan filem dan filem pendek hasil karya pelajar Malaysia pula akan dibuat sebagai manifestasi diplomasi budaya Malaysia yang progresif dan inklusif.

Mazita menegaskan, kerjasama strategik itu, bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan sempena Sambutan Hari Malaysia ke-62.
Kolaborasi pihaknya bersana USANITA itu juga diyakini mampu memperkukuh lagi citra Malaysia dalam platform serantau dan antarabangsa.
"Hubungan dua hala Malaysia–New Zealand semakin kukuh hasil lawatan rasmi Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon ke Malaysia pada September 2024 yang membuka ruang kerjasama dalam bidang perdagangan, inovasi, kelestarian dan hubungan rakyat dengan rakyat," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Hasan berkata, sokongan Suruhanjaya Tinggi New Zealand sebagai satu pengiktirafan rasmi terhadap potensi wanita Malaysia dalam bidang diplomasi ekonomi.
“Ini bukan sekadar galakan moral, tetapi tanda kepercayaan terhadap peranan wanita sebagai pemacu diplomasi budaya dan ekonomi.
"BtB 4.0: Australasia bakal menjadi pelopor kepada era baharu keterlibatan wanita Malaysia di pasaran global khususnya di New Zealand dan Australia," katanya.
Inisiatif BtB 4.0 ini katanya, telah bermula di New Zealand dengan penghasilan dua telemovie oleh USANITA berjudul; 'Poskad Cinta Dari Auckland' dan 'Saling Tak Terlihat'.
"Penggambaran untuk dua telemovie yang berlangsung di sekitar Auckland akan selesai pada pertengahan bulan ini.
"Manakala penggambaran filem bertajuk 'Nafs' terbitan USANITA , hasil karya pengarah, pelakon dan penulis skrip Erma Fatima akan dibuat di New Zealand September depan," katanya.
Program BtB merupakan inisiatif berimpak tinggi oleh USANITA bagi memperkasa usahawan Malaysia, khususnya wanita dan golongan B40.
Adzliana menarik perhatian, fasa pertama dan kedua: BtB yang meneroka peluang di Indonesia dilancarkan pada tahun 2022 dan 2023.
Fasa ketiga BtB yang berlangsung di United Kingdom pada awal tahun ini melakar sejarah apabila USANITA menandatangani MoU bersama Said Business School, Universiti Oxford bagi penyediaan pendidikan eksekutif bertaraf dunia.
"Program BtN 4.0: Australasia juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh agenda inklusif serantau sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025", katanya.- DagangNews.com
standard

![[VIDEO] Suruhanjaya Tinggi Malaysia sokong inisiatif Usanita tembusi pasaran Australasia](https://cdn.newswav.com/img/topic/business-and-finance.jpeg)