
KUANTAN – Seorang anak kecil terpaksa bergantung kepada penjagaan rapi ibunya selepas dilahirkan dengan pelbagai komplikasi kesihatan.
Bagi Siti Nur Najwa Zamrifaizal, 23, setiap hari adalah perjuangan untuk memastikan anaknya, Muhammad Nuh Alfateh Abdullah, 2, terus bertahan meskipun berdepan lima penyakit seperti sindrom down, tiada lubang anus, komplikasi jantung, laryngomalacia dan masalah paru-paru.
Menurutnya, walaupun berdepan keletihan fizikal dan emosi, namun dia tetap memilih untuk terus kuat demi memastikan anak kecilnya mendapat penjagaan terbaik.
“Pernah rasa penat, tetapi bila tengok muka Muhammad Nuh saya perlu berlapang dada dengan ujian ini.
“Kalau bukan saya yang urus dan jaga dia, siapa lagi yang dia boleh harapkan? Jadi, mahu tidak mahu saya harus jadi insan kuat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Balok Pantai di sini.
Mengimbas perjalanan getir anaknya, Siti Nur Najwa berkata, Muhammad Nuh dilahirkan pramatang ketika usia kandungannya baru 34 minggu.
Tambahnya, ketika berusia dua hari, anaknya menjalani pembedahan bagi membuat bukaan pada bahagian perut untuk membolehkan najis dikeluarkan sebelum ditempatkan di Unit Rawatan
Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah selama kira-kira lima bulan.
“Selepas itu, dia ditahan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selama kira-kira tujuh hingga lapan bulan,” katanya.
Ujarnya, sepanjang berada di PICU, Muhammad Nuh beberapa kali memerlukan bantuan pernafasan, menjalani intubasi serta empat kali resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum doktor melakukan pembedahan trakeostomi atau tebuk leher bagi membantu pernafasannya.
Menurutnya, keadaan saluran pernafasan anaknya yang masih sempit serta paru-paru yang belum berkembang sepenuhnya menyebabkan tiub trakeostomi itu masih diperlukan.
Dalam pada itu, Siti Nur Najwa berkata, kos penjagaan Muhammad Nuh mencecah kira-kira RM1,200 sebulan, tidak termasuk perbelanjaan perjalanan ke hospital.
Lebih meruntun hati, suaminya, Abdullah Hashim, 26, yang membantu ibu saudaranya menjual ikan hanya memperoleh pendapatan harian antara RM40 hingga RM80 sehari, bergantung kepada bekalan ikan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Siti Nur Najwa di 019-742 9447 atau menyalurkan sumbangan ke BSN 0699541000311601.
The post Usia baru 2 tahun diuji lima masalah kesihatan appeared first on Kosmo Online.

