Usia bukan penghalang buat Chang

LocalPolitics
24 Apr 2025 • 4:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Jinni Juanis

PENAMPANG: ‘Usia bukannya masalah untuk tetap kekal dalam politik,” kata Joseph Alex Chang selepas berjaya mempertahankan jawatan sebagai Ketua cabang PKR Penampang mengalahkan dua lagi lawannya dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Beliau berikrar untuk terus melaksanakan agenda yang sudah dirancang demi mengembalikan kepercayaan di kalangan akar umbi dan memperkasakan reformasi sebenar parti itu.

Sebab itu katanya, umur bukannya alasan untuk tidak meneruskan perjuangan parti di Penampang. Chang berketurunan sino-Kadazan kini berusia 79 tahun.

Chang mengalahkan dua saingan di mana beliau mendapat 483 undi dalam pemilihan pucuk pimpinan peringkat cawangan di sini.

Dalam arena politik Penampang katanya, PKR kembali menyaksikan gelombang baru dan beliau akan membawa pembaharuan di tempatnya berkhidmat melalui parti dan kerja-kerja kemasyarakatan.

Ketika ini beliau adalah Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Penampang (PPKK) di mana panel ini berfungsi sebagai pengantara di antara jabatan kesihatan dan orang ramai yang memerlukan khidmat kesihatan yang mantap.

“Saya akan terus melaksanakan agenda yang sudah dirancang demi mengembalikan kepercayaan di kalangan akar umbi dan memperkasakan reformasi sebenar,” katanya kepada Harian Ekspres.

Menjadi pengerusi PPKK, ia membolehkan Chang bertemu dengan semua lapisan masyarakat dalam bidang kesihatan dan menjadi orang pertama yang mendengar keluhan mereka untuk mendapat kesihatan terbaik.

Chang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk bidang politik yang diceburinya selama lebih 30 tahun.

Beliau mempunyai hubungan mesra dengan pemimpin parti negeri ini dan di peringkat Pusat di mana beliau yakin persahabatan itu boleh dijana sebagai elemen yang mampu membawa perubahan besar di kawasan Penampang.

“Pemilihan dalam Kongres Nasional PKR baru-baru ini diadakan dengan tujuan memastikan kestabilan kepimpinan Perdana Menteri kesepuluh Malaysia untuk menerajui parti dan negara,” katanya.

PKR Penampang katanya berpandangan jauh dan akan tetap berdiri teguh memberikan sokongan kepada PM Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti untuk terus mengemudi negara ini sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Chang berkata PKR Penampang menyokong kenyataan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah Sazalye Donol Abdullah yang tegas menyokong dan memberi kepercayaan kepada Ketua Negeri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Sazalye memberi kepercayaan penuh kepada Hajiji untuk menerajui Sabah dengan usaha-usaha beliau memperkasa dan memperkukuh ekonomi hingga dapat menstabilkan politik Sabah,” tambahnya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan semua pihak yang bertanding sama ada menang atau kalah dalam pemilihan supaya sama-sama bersatu dan memberi kerjasama di antara satu dengan yang lain.

PKR katanya, tidak menggalakkan budaya serang-menyerang dalam parti atau secara peribadi tetapi menggesa semua untuk bertanding secara sihat dalam semangat setiakawan demi masa depan parti.

“Perkara yang tidak diingini tidak akan membawa kebaikan, malah merosakkan reputasi seseorang individu dan juga parti. Saya gesa semua untuk memberikan sokongan kepada pemimpin yang menang.

“Kestabilan itu penting untuk kemajuan. Perjuangan yang kurang persengketaan dapat mengukuhkan parti,” katanya.

Beliau juga meminta semua ahli untuk menjaga adab dan tingkah laku supaya tidak berlaku masalah. Semua ahli digesa untuk berhati-hati untuk menjaga nama dan imej serta reputasi baik parti PKR di Penampang.

Chang menggantikan Kenny Chua yang meninggalkan parti itu sebagai ketua cabang PKR Penampang pada 2020. Beliau adalah ahli PKR sejak 2005 dan aktif dalam perjuangan parti bemula pada 2010.