USM, Bernas lancar projek kawalan tikus guna burung pungguk di sawah padi sekitar Kepala Batas

LocalEnvironment
14 May 2025 • 2:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

USM, Bernas lancar projek kawalan tikus guna burung pungguk di sawah padi sekitar Kepala Batas

image is not available

14/05/2025 - 14:11

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 14 Mei - Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan projek perintis bersama Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bagi memperkenalkan penggunaan burung pungguk sebagai kawalan perosak semula jadi di sawah padi sekitar Kepala Batas, Pulau Pinang.

Penyelaras Kumpulan Penyelidikan Barn Owl dan Rodent (BORG), Profesor Madya Dr. Hasber Salim berkata, projek tersebut akan meletakkan sebanyak 20 unit sarang burung pungguk di kawasan sawah milik petani di Paya Keladi, Kepala Batas.

"Burung pungguk sememangnya hidup di kawasan sawah tetapi tidak membina sarang sendiri, sebaliknya mencari ruang seperti bumbung atau lubang pokok untuk dijadikan tempat tinggal.

image is not available

"Burung pungguk memerlukan tempat tinggal yang sesuai, jadi kami bina kotak sarang khas yang sesuai untuk diletakkan di kawasan sawah," katanya semasa majlis pelancaran projek berkenaan bersama Bernas, dengan kerjasama Global Giving Grant dan Corteva Agriscience.

Satu keluarga burung pungguk mampu membunuh kira-kira 3,000 ekor tikus setahun dan satu sarang boleh melindungi kawasan sehingga 500 hektar.

image is not available

Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja mampu mengurangkan kos input petani, malah membantu mengurangkan penggunaan racun kimia yang boleh memudaratkan burung, ular dan hidupan lain.

"Ini adalah pendekatan lebih lestari dan selamat untuk alam sekitar. Kami juga akan mengkaji keberkesanannya dalam mengawal populasi tikus," katanya.

Seramai 20 petani terlibat dalam fasa awal projek tersebut.

Pengurus Kanan Pengurusan Bekalan Bernas, Haslizan Hashim berkata, pendekatan itu dijangka mengurangkan kebergantungan petani terhadap racun perosak.

"Inisiatif ini bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi juga berpotensi meningkatkan hasil kerana ancaman perosak dapat dikurangkan.

"Bernas komited untuk berkongsi pengetahuan daripada projek itu dan memperluaskannya ke seluruh kawasan tanaman padi.

"Saya percaya projek ini memberi impak positif kepada industri dan menyumbang kepada keselamatan makanan negara," katanya.- DagangNews.com

standard