USM, Pharm-D HS pacu pengkomersialan teknologi postbiotik tempatan berasaskan durian Musang King, kubis

LocalTechnology
18 Aug 2026 • 12:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

USM, Pharm-D HS pacu pengkomersialan teknologi postbiotik tempatan berasaskan durian Musang King, kubis Image from: USM, Pharm-D HS pacu pengkomersialan teknologi postbiotik tempatan berasaskan durian Musang King, kubis johardy18/08/2026 - 12:23 Dr Tan Joo Shun, Profesor Madya di Pusat Pengajian Teknologi Industri USM dan pengasas syarikat Biotenova Sdn Bhd, merupakan penyelidik utama bagi teknologi postbiotik yang telah dipatenkan dan memenangi anugerah. Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pharm-D Health Science Berhad (Pharm-D HS) memperluas pengkomersialan teknologi postbiotik halal berpaten yang dibangunkan menggunakan sumber bio tempatan termasuk durian Musang King dan kubis, dalam usaha membawa hasil penyelidikan Malaysia ke pasaran.

 

Teknologi yang dibangunkan USM bersama Biotenova itu dilesenkan kepada Biotenova, anak syarikat Pharm-D HS, manakala Pharm-D HS dilantik sebagai rakan pemasaran bagi membawa inovasi berkenaan ke pasaran.

 

Inovasi itu merangkumi ramuan postbiotik berpaten LASSICA K014®, ACASEI™ dan PLANTACT® yang kini digunakan dalam pelbagai bidang termasuk penjagaan kesihatan, kulit, oral, kesejahteraan haiwan peliharaan, pertanian, penternakan dan akuakultur.

 

Ia turut meraih beberapa pengiktirafan termasuk Anugerah Perak bagi kategori Inovasi Terbaik pada Star Outstanding Business Awards (SOBA) 2025 serta Pingat Emas dan “Asian Invention Excellence Award” bagi LASSICA K014® pada International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2026.

 

Sebelum itu, inovasi berkenaan memenangi Pingat Emas pada USM InnoZILLA 2024, Malaysia Technology Expo (MTE) 2023 dan International Conference and Exposition on Inventions by Institutions of Higher Learning (PECIPTA) 2022.

 

Sumber tempatan bina teknologi bernilai tinggi

Menurut kenyataan itu, penggunaan sumber bio Malaysia seperti kubis dan durian Musang King membentuk sebahagian daripada rantaian pembangunan inovasi tempatan yang merangkumi bahan mentah, penyelidikan dan pengajian, pembuatan sehingga pemasaran.

 

Kerjasama dengan Pharm-D HS membolehkan teknologi berkenaan dibawa daripada peringkat penyelidikan kepada penggunaan sebenar dengan memanfaatkan kepakaran serta keupayaan penyelidikan tempatan.

 

Pada masa sama, kerjasama industri-akademia itu dijangka membuka lebih banyak peluang untuk membangunkan generasi baharu pakar dan penyelidik sains Malaysia.

 

Teknologi yang dibangunkan dan dipatenkan di Malaysia itu juga dilihat sebagai contoh bagaimana penyelidikan tempatan boleh diterjemahkan kepada inovasi bernilai tinggi di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh keupayaan inovasi dan portfolio harta intelek negara.

 

Pengkomersialannya dalam pelbagai sektor pula membolehkan teknologi postbiotik berkenaan mempunyai penggunaan merentasi kesihatan manusia, haiwan dan sektor pengeluaran makanan.

 

Sokong pendekatan One Health

Teknologi itu dibangunkan untuk penggunaan merentas pelbagai sektor dan selaras dengan kerangka “One Health” Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang mengiktiraf hubungan antara kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.

 

Selain kesihatan manusia, aplikasinya meliputi kesihatan haiwan peliharaan serta pemakanan ternakan, dengan inovasi berkenaan bertujuan menyokong tahap kesihatan ternakan yang lebih baik dan mengurangkan kebergantungan terhadap antibiotik.

 

Pendekatan itu berpotensi menyumbang kepada peningkatan kualiti dan keselamatan makanan serta jaminan bekalan makanan yang lebih stabil dan berterusan.

 

Ramuan postbiotik berkenaan juga menunjukkan aktiviti antimikrob terhadap patogen yang mempunyai kerintangan terhadap antibiotik, sekali gus menyokong usaha menangani kerintangan antimikrob yang dikenal pasti WHO sebagai antara cabaran kesihatan awam yang mendesak.

 

Satu kajian klinikal yang diterbitkan baru-baru ini dalam jurnal saintifik Nutrients turut menunjukkan bahawa Lactiplantibacillus plantarum K014 (LASSICA K014®) selamat untuk pengambilan harian jangka panjang dan dikaitkan dengan manfaat kepada beberapa sistem fisiologi termasuk kesihatan pencernaan dan gastrousus, kesihatan imun serta fungsi hati.

 

Menurut kenyataan itu, hasil kajian yang semakin berkembang itu turut memperkukuh potensi postbiotik sebagai pendekatan generasi baharu untuk menyokong kesihatan dan kesejahteraan jangka panjang.

 

Dari makmal kepada pasaran

Kerjasama strategik Pharm-D HS dan USM membolehkan penemuan saintifik yang bermula di makmal USM diterjemahkan kepada inovasi yang berdaya maju secara komersial sebelum dibawa ke pasaran.

 

Selain membawa teknologi postbiotik baharu ke pasaran, kerjasama berkenaan membuka peluang melahirkan pakar dan penyelidik tempatan, memperkukuh ekosistem penyelidikan negara serta membangunkan harta intelek Malaysia yang bernilai.

 

Kerjasama industri-akademia itu turut menjadi contoh bagaimana hubungan berterusan antara kedua-dua pihak boleh menterjemahkan penyelidikan kepada penciptaan yang memberi manfaat kepada masyarakat, sektor penjagaan kesihatan dan ekonomi negara.

 

Pengarah Urusan Pharm-D Health Science Berhad, Wong Chin Cheang berkata projek berkenaan membuktikan inovasi bertaraf dunia boleh dibangunkan dari Malaysia dengan memanfaatkan sumber bio tempatan.

 

“Dengan menterjemahkan sumber bio tempatan kepada teknologi postbiotik berpaten yang mempunyai aplikasi praktikal, kami berharap dapat membantu membangunkan Malaysia sebagai pencipta dan peneraju inovasi, bukan sekadar pengguna atau penerima teknologi luar negara,” katanya.

 

Perkukuh harta intelek dan bakat tempatan

Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) USM, Profesor Madya Dr Nurzalina Abdul Karim Khan berkata kerjasama akademik-industri itu menunjukkan bagaimana penyelidikan akademik boleh diterjemahkan kepada inovasi praktikal yang memberi manfaat kepada masyarakat.

 

Menurutnya, gabungan kepakaran sains dan penyelidikan USM dengan keupayaan industri serta pemasaran Pharm-D HS membuktikan institusi dan syarikat Malaysia mampu menghasilkan teknologi yang memperkukuh ekosistem penyelidikan negara, aset harta intelek dan pembangunan bakat saintifik masa depan.

 

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) USM, Profesor Madya Dr Yusri Yusup pula berkata pihaknya teruja melihat hasil penyelidikan pusat pengajian itu diterjemahkan kepada inovasi yang mempunyai nilai nyata kepada masyarakat dan industri.

 

“Pencapaian ini membuktikan kepentingan kerjasama kukuh antara akademia dan industri dalam menterjemahkan penyelidikan saintifik kepada teknologi yang dapat memanfaatkan masyarakat.

 

“Kami berharap kejayaan ini dapat menggalakkan lebih banyak hasil penyelidikan diterjemahkan kepada aplikasi sebenar serta terus memperkukuh ekosistem inovasi Malaysia,” katanya.

 

Menurut kenyataan itu, penggunaan sumber, makmal dan kepakaran tempatan menunjukkan bagaimana inovasi yang dibangunkan dalam negara berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi import, selain memperkukuh keupayaan penyelidikan Malaysia.

 

Ketika sistem penjagaan kesihatan global semakin memberi keutamaan kepada rumusan yang mampan dan berasaskan bukti saintifik, kerjasama itu turut mengetengahkan potensi Malaysia untuk muncul bukan sekadar sebagai pengguna atau penerima inovasi, tetapi sebagai pencipta dan peneraju teknologi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved