
Kota Kinabalu: Perbuatan beberapa pemimpin kanan dalam kabinet Kerajaan GRS-BN untuk menjatuhkan kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri amat menyedihkan Usno.
Presidennya, Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia, menyifatkan cubaan menggulingkan Hajiji Jumaat lepas sebagai suatu perbuatan yang menjejaskan imej diri sendiri jika dilihat dari segi pengalaman dan kematangan berpolitik.
“Bagaimanapun, pengalaman dan kematangan mereka itu jauh tersasar. Pada masa ini, negeri Sabah tidak memerlukan Ketua Menteri baharu atau kerajaan baharu.
“Ketua Menteri dan barisan menterinya yang ada sekarang ini adalah memadai sekiranya mereka yang berkenaan itu ikhlas menjalankan tanggungjawab masing-masing demi untuk kepentingan rakyat,” jelas Pandikar dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, Ketua Menteri adalah individu yang layak memegang jawatan sebagai Ketua Kerajaan berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran dan sebagai wakil rakyat.
“Sebagai individu dalam dunia politik pula, Hajiji seorang yang mempunyai sikap inklusif, yakni tidak suka bermusuhan, mengaibkan, menunjuk-nunjuk kelebihan diri atau memandai-mandai kerana beliau memberikan keutamaan kepada keseluruhan atau sama rata.
“Sebagai analogi, walaupun seorang ‘nakhoda’ itu sarat dengan ilmu pelayaran, bahtera yang dinakhodai oleh beliau tidak akan selamat sampai ke destinasi jika petugas-petugas lain tidak membantu nakhoda mereka apa lagi merampas kuasanya sebagai nakhoda,” tambah Pandikar.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah berkata, sejak merdeka, negeri Sabah diterajui oleh beberapa individu dari pelbagai parti politik, namun sehingga kini, keadaan ekonomi dan politik negeri Sabah masih belum boleh dibanggakan.
“Ini berlaku walaupun kebanyakan pemimpin dahulu dan sekarang sarat dengan pengalaman pentadbiran dan punyai pelbagai kemahiran masing-masing selain berpendidikan tinggi.
“Kegagalan ini adalah disebabkan oleh kecenderungan suka menjatuhkan kerajaan dan keadaan akan kembali seperti sebelumnya,” katanya.
Pada masa keadaan politik nasional kini berubah yang disertai kesedaran dari pemimpin-pemimpin Malaya untuk melaksanakan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sepatutnya pemimpin Sabah dari semua parti-parti politik bersatu padu dan memberikan sokongan kepada kerajaan GRS-BN di bawah teraju YAB DSP Hajiji Mohd Noor bagi membangunkan negeri Sabah dan bukan sebaliknya, katanya.
“Sebagai pemimpin kanan komponen kerajaan GRS - BN, yang dimandatkan oleh rakyat negeri Sabah untuk mentadbir kerajaan negeri, mereka sewajarnya berkongsi fikiran dan tenaga untuk membantu Ketua Menteri melaksanakan tanggungjawab serta memberikan tumpuan khusus kepada kestabilan kerajaan yang mereka sendiri telah bertungkus lumus wujudkan setelah mengalahkan kerajaan Warisan pada PRN16.
Menggulingkan Ketua Menteri dan menjadikan Parti Warisan sebagai tulang belakang peneraju kerajaan Sabah semata-mata untuk mendapatkan beberapa portfolio yang diidamkan adalah suatu tindakan yang kurang bijaksana dan saya anggap ia sebagai ‘pengalaman sarat yang jauh tersasar’,” ujarnya lagi
“Usno tidak akan mencurahkan walau setitik air dari tempayan, walau terdengar guruh di langit,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
