
Tidak mempunyai latar belakang lengkap dalam bidang agama
Ustaz Azhar Idrus Antara Pendakwah Yang Tidak Dibenar Berceramah Di Sarawak. Penceramah bebas yang tidak mempunyai latar belakang lengkap dalam bidang agama tidak dibenarkan untuk mengadakan ceramah agama di masjid dan surau di Sarawak.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia termasuk mereka yang tidak diberi tauliah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta beberapa negeri lain di Semenanjung antaranya penceramah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus.

Ini penjelasan Hal Ehwal Islam Sarawak
Dr Abdul Rahman yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Islam Sarawak berkata, langkah itu diambil bagi mengekang pelampau agama menyebarkan fahaman yang boleh menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

“Sebelum ini pun ada beberapa orang penceramah yang tidak beri tauliah untuk berceramah di Sarawak kerana mereka tidak ada latar belakang yang lengkap dalam bidang agama dan pada yang sama ada juga beberapa orang yang tidak mendapat tauliah di Semenanjung, maka kita pun mengambil tindakan yang sama.
“Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) memberi penekanan hanya kepada penceramah agama yang ada latar belakang lengkap untuk menyampaikan maklumat mengenai hal ehwal Islam kepada masyarakat Islam di seluruh Sarawak,” katanya.


