
Ustaz Azhar & Ustaz Mad Kecik Antara Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Terengganu
Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus telah menerima Anugerah Tokoh Dakwah Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1448H/2026M dalam satu majlis di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Menerusi kiriman di Facebook Ustaz Azhar Idrus, anugerah itu disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan yang sangat selayaknya buat sumbangan besar beliau dalam dunia dakwah Islam, bukan sahaja di Terengganu malah di seluruh Nusantara.
"Gaya penyampaian beliau yang bersahaja, tegas, dan sarat dengan ilmu sentiasa dekat di hati masyarakat.
"Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesihatan yang baik, kekuatan dan keberkatan usia kepada Tuan Guru untuk terus membimbing dan memberi pencerahan kepada ummah ," tulis penyelia laman Facebook itu.
Selain Ustaz Azhar, Ustaz Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik turut menerima Anugerah Tokoh Orang Kurang Upaya Maal Hijrah dalam majlis yang sama.

Selain kerja-kerja dakwahnya, Ustaz Mad Kecik juga menjadi antara peserta Global Sumud Flotilla yang berusaha untuk menghantar bantuan kepada rakyat di Palestin.
Sementara itu, Samsuri menerusi kiriman di Facebook mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah sempena Sambutan Maal Hijrah tahun ini.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, urusetia, agensi terlibat dan seluruh hadirin yang hadir memeriahkan majlis tersebut.
"Semoga tahun baharu hijrah ini membawa keberkatan, memperkukuhkan perpaduan dan menggerakkan kita ke arah Terengganu yang lebih maju, sejahtera dan diredai Allah SWT," katanya
Menurutnya, sambutan Maal Hijrah pada tahun ini mengajak umat Islam semua menghayati makna hijrah sebagai satu proses perubahan yang membina tamadun, memperkukuh masyarakat serta membentuk masa depan yang lebih baik berteraskan iman, ilmu dan akhlak.
Baca juga:
Sambutan Maal Hijrah Disambut Sederhana, Penuh Kesyukuran
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2020/1442
"Hijrah Rasulullah SAW merupakan titik perubahan agung dalam sejarah umat manusia. Melalui pembentukan masyarakat Madinah dan Piagam Madinah, Baginda SAW telah meletakkan asas pemerintahan yang adil, menghormati kepelbagaian serta memelihara keharmonian masyarakat.
"Semangat inilah yang perlu terus menjadi pedoman dalam usaha kita membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat," katanya lagi






