
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada 15 Disember lalu, satu laporan polis diterima selepas tular di media sosial menyaksikan seorang lelaki dipercayai ustaz di sebuah madrasah bertindak memukul sekumpulan remaja menggunakan topi keledar.
Menerusi klip itu, awalnya kelihatan dua orang remaja lelaki sedang duduk di kaki lima sebelum lelaki tersebut datang dan menendang mereka lalu memukul dengan topi keledarnya.
Tidak lama selepas itu, kelihatan beberapa lagi remaja yang lalu di kawasan tersebut turut dipukul menggunakan topi keledar yang sama.
Memetik Berita Harian, suspek kemudian ditahan polis manakala mangsa dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak serta Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah dan disahkan mengalami kecederaan pada tisu lembut.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ditahan Polis Selepas Tular Video Belasah Sekumpulan Remaja Guna Helmet
Lelaki Pukul Pelajar Didenda RM18,200 Atas 13 Tuduhan Menyebabkan Kecederaan
Terbaharu, ustaz tular yang menyerang sekumpulan pelajar itu didenda RM18,200 atas 13 tuduhan menyebabkan kecederaan.
Tertuduh, Saifur Rahman Mohd Ismail, 38, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, hari ini (22 Disember).
Susulan itu, mahkamah menjatuhkan denda RM1,400 bagi setiap pertuduhan atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda dikenakan.
Saifur mengaku bersalah secara sukarela kerana menyebabkan kecederaan ke atas 13 mangsa yang berusia antara 14 hingga 20 tahun pada 14 Disember lalu, jam 11.55 malam hingga 11.58 malam di hadapan premis Gaming Zone di Bandar Sierra, Kota Kinabalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang menjatuhkan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Peguam Rayu Hukuman Tertuduh Diringankan
Walau bagaimanapun, peguam Mohd Ari Nadzrah Abd Rahman dalam proses rayuan memohon hukuman diringankan dengan menyatakan tertuduh hanya bekerja sebagai ustaz di sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan. Beliau juga memaklumkan bahawa ia adalah kesalahan pertama pengajar itu.
“Berdasarkan fakta kes, tertuduh mendapati mangsa melarikan diri dari asrama sekitar jam 11.30 malam dan itu menyebabkan dia berang.
“Walaupun itu bukan alasan untuk memukul mereka, ia menjadi faktor yang perlu dipertimbangkan. Dapatan kes juga menunjukkan mangsa hanya mengalami kecederaan tisu lembut dan lebam,” dedahnya.
Tambah Mohd Ari, laporan polis mengenai isu terbabit sendiri dilakukan oleh pihak berkuasa dan bukannya mangsa atau ibu bapa mereka.
“Niat Tertuduh Tidak Menghalalkan Cara” – Timbalan Pendakwa Raya
Pun begitu, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman yang setimpal dengan mengambil kira implikasi kesalahan tersebut dan kepentingan awam.
Menurut beliau, niat baik Saifur tidak boleh dijadikan tiket untuk berbuat demikian kepada mangsa yang mana ia jelas menyalahi undang-undang.
Hukuman yang dijatuhkan juga perlu dijadikan pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama, selain mesej bahawa mahkamah tidak berkompromi terhadap perbuatan sebegitu.
