
Kota Kinabalu: Parti Amanah Negara (Amanah) mengumumkan Ustaz Mohd Julpikar Ab Mijan (gambar) sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sulabayan di Semporna pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah.
Pengumuman tersebut dibuat semasa Konvensyen Amanah Sabah 2025 yang dirasmikan oleh Presiden parti Datuk Seri Mohamad Sabu pada Ahad.
Dalam ucapan perasmiannya Mohamad Sabu menggesa seluruh jentera Amanah Sabah supaya segera memulakan gerak kerja pilihan raya, menekankan perlunya gerakan teratur dan berstrategi menjelang pilihan raya yang semakin hampir.
“Pilihan raya kali ini memerlukan komitmen yang tinggi serta perancangan strategik di setiap peringkat bagi memastikan Amanah dapat menembusi landskap politik Sabah dan memenangi kerusi pertama parti di peringkat negeri,” katanya.
Beliau menegaskan perjuangan Amanah mesti berasaskan nilai, integriti dan keberanian moral bukannya sekadar mengejar kemenangan politik semata-mata.
Menurutnya kejayaan sebenar bukan saja diukur melalui jumlah undi tetapi melalui keyakinan rakyat terhadap kejujuran dan keteguhan pendirian parti.
Mohamad Sabu yakin melalui kerjasama pasukan dan komitmen yang ikhlas Amanah mampu memenangi hati rakyat Sabah serta membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri (Dun).
Terdahulu Mohd Julpikar Ab Mijan merupakan seorang pendidik, aktivis sosial dan pemimpin masyarakat dari Semporna yang aktif dalam bidang pendidikan dan pembangunan komuniti.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Syariah dan Undang-undang) dari UIN Suska Riau, Indonesia dan berpengalaman luas dalam pentadbiran pendidikan, dakwah serta kegiatan pertubuhan bukan kerajaan.
Antara pengiktirafan yang diterima termasuk Tokoh Maulidur Rasul Daerah Semporna 2021 dan Tokoh Ma’al Hijrah Daerah Semporna 2023.
Sebagai usahawan pendidikan dan komuniti yang aktif beliau dianggap antara tokoh muda berpotensi membawa politik berasaskan nilai serta pembangunan masyarakat ke peringkat negeri.
