PAPAR - Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa bukan partinya yang menolak usul persendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kapayan Chin Tek Ming berkaitan isu tuntutan 40 peratus dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar sebaliknya memaklumkan usul persendirian itu ditolak atas kuasa dan atas keputusan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.
"Saya fikir kalau kita lihat ulasan beliau sama ada di DUN dan atau di luar, yang antaranya ada unsur-unsur untuk menyalahkan parti saya, parti GRS dalam hal ini.
"Jadi saya fikir saya perlu respons. Perlu diingat bahawa usul persendirian yang dibawa oleh ADUN Kapayan itu ditolak atas kuasa dan atas keputusan Speaker DUN Sabah. Bukannya parti GRS yang menolak usul itu. Jadi ini kena betul.
"Yang kedua, seolah-olah menunjukkan menyalahkan bahawa bila usul persendirian itu ditolak, salahnya adalah pada GRS dan yang kedua seolah-olah persepsi kerajaan negeri, dewan dan ADUN-ADUN yang lain menolak perjuangan 40 peratus. Persepsi ini kena dibetulkan bagi saya kerana betul-betul jauh tersasar.
"Kita tahu bahawa kerajaan negeri Sabah khususnya konsisten terhadap perjuangan menuntut hak 40 peratus ini. Bukan hanya dalam dewan, bukan hanya luar dewan, termasuk di mahkamah," katanya dalam sidang akhbar selepas taklimat status semasa projek pembangunan di daerah ini, di Pejabat Daerah Papar, di sini, pada Isnin.
Jelasnya lagi, perkara itu boleh dirujuk kepada afidavit balasan dan penghujahan Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah, yang mewakili Kerajaan Negeri, dalam kes antara Sabah Law Society (SLS) dan kerajaan Persekutuan.
"Kerajaan Negeri tegas, hak 40 peratus adalah hak berpelembagaan yang wajib ditunaikan.
"Malah dalam sidang DUN yang terkini juga pendirian dan tindakan kerajaan negeri telah diperjelaskan, termasuk oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun yang menjelaskan perkembangan rundingan.
"Antara lain, kadar pertambahan pemberian khas itu berdasarkan kepada data pungutan cukai. Kerajaan negeri mensasarkan pertambahan sekurang-kurangnya dari RM600 juta (kadar semasa) kepada RM3 bilion setahun, bagi peringkat awal ini. Bukan tahun depan, tapi Sabah mahu dilaksana segera," katanya.
Bidasnya lagi, usul ADUN Kapayan itu dilihat lebih kepada bermotif politik dengan iaitu beliau cuba mahu memposisikan Warisan supaya tidak 'tinggal kapal' dalam pencapaian perjuangan MA63.
"Maka diciptakan naratif kalau DUN atau ADUN tolak, maka perjuangan 40 peratus ditolak dan Warisan adalah pejuang tegar.
"Kerajaan negeri sedang bergerak dengan agresif menuntut hak, tidak masuk akal bagi ADUN-ADUN kerajaan diminta menyokong usul peribadi ADUN Kapayan yang perjuangan mereka sekadar tegar mengelirukan rakyat," katanya.
Tambah beliau lagi, ini juga cubaan untuk memadamkan kesilapan besar yang telah kerajaan negeri Warisan buat pada tahun 2019.
"Pada sidang DUN Ogos 2019 menyebut tidak wajar membawa perjuangan menuntut MA63 termasuk 40 peratus terhadap kerajaan Persekutuan ke mahkamah dan hari ini seolah-olah merekalah lebih konsisten berbanding SLS dan kerajaan negeri.
"Kedua, Kerajaan Warisan atas kelulusan Kabinet Negeri diketuainya telah mengeluarkan surat rasmi kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada Oktober 2019 yang telah bersetuju dengan semakan kadar Pemberian Khas (Special Grant) di bawah Perkara 112 (C) Perlembagaan Persekutuan HANYA pada jumlah RM53.4 juta. Satu tindakan amat cuai membelakangkan kepentingan negeri," katanya.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, sekiranya semakan kadar baharu pemberian khas belum dilaksana kerajaan Persekutuan sehingga tiba tempoh Sidang DUN yang akan datang, beliau akan berbincang dengan ADUN-ADUN Penyokong Kerajaan yang diketuai oleh ADUN Kuamut, Datuk Masiung untuk membawa usul ke DUN berkaitan hak 40 peratus.
"Selain menegaskan semula pendirian dan tuntutan, penting untuk direkodkan secara rasmi dalam DUN akan kedua-dua tindakan Warisan pada tahun 2019 tersebut. Ini termasuk membentangkan secara rasmi minit Mesyuarat Kabinet Negeri Warisan dan surat-surat antara Kerajaan Warisan dan kerajaan Persekutuan pada tahun 2019 yang membawa kepada persetujuan pada kadar hanya RM53.4 juta tersebut (dokumen-dokumen ini tersimpan rapi).
"Biar kekhilafan tindakan tersebut menjadi rekod yang terpahat dalam hansard DUN untuk tatapan rakyat dan generasi akan datang," katanya.
Sehubungan itu, Armizan meminta ADUN dari Warisan itu supaya tidak khuatir mengenai perkara itu kerana Kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua pada hari ini akan memperjuangkan kadar berbilion-bilion, dan bukannya hanya RM53.4 juta seperti kesilapan yang dibuat parti itu.
"Sayang kerana ADUN Kapayan agak lambat menjadi pemimpin Warisan, kalau tidak saya fikir beliau boleh menasihati Ketua Menteri Warisan pada masa itu supaya tidak bersetuju dengan kadar yang amat-amat rendah tersebut.
"Saya yakin kerajaan Persekutuan akan mengambil perhatian serius terhadap permintaan kerajaan negeri Sabah. Ini kerana hakikatnya hanya kerajaan Persekutuan pada hari ini yang telah memutuskan dalam Jemaah Menteri dan kemudiannya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri telah menyebut secara terbuka dan rasmi di Parlimen termasuk pada 12 November 2025 bahawa kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus Sabah sebagaimana terkandung dalam Perkara 112 (C) dan Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.
"Pendirian ini tidak pernah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini. Malah pernah dijawap di Parlimen oleh pentadbiran lalu bahawa hak 40 peratus itu sudah terhenti berkuat kuasa," katanya.


