Usul Tambahan Lulus Ikut Undang-Undang, Termaktub Dalam Perlembagaan Parti - Zahid

Politics
14 Jan 2023 • 8:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Zahid menafikan dakwaan kononnya usul itu dilaksanakan secara tidak sempurna. - Gambar oleh Syeda Imran

KUALA LUMPUR - Proses meluluskan usul tambahan agar jawatan  Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dibuat mengikut prosedur yang berlandaskan undang-undang sepatutnya.

Serentak dengan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan kononnya ia dilaksanakan secara tidak sempurna, kerana proses yang dilalui hari ini termaktub dalam perlembagaan parti.

Menurut beliau, usul tersebut diharapkan tidak dijadikan polemik oleh ahli UMNO, khususnya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang telah pun mendapat sokongan daripada perwakilan.

“Maka keputusan tadi adalah muktamad, sesuai dengan apa yang saya nyatakan dalam wawancara atau kenyataan media sebelum ini bahawa sesungguhnya, kami berdua (termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan) menyerahkan  perkara ini kepada perwakilan.

“Perhimpunan Agung UMNO adalah badan tertinggi dalam UMNO dan ini tercatat dengan jelas dalam perlembagaan (parti) sendiri,” katanya dalam sidang media selepas penggulungan ucapan dasar Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau turut mendapatkan pandangan daripada penasihat undang-undang UMNO sejurus pencadang membentangkan usul tambahan terbabit.

“Di akhir ucapan pencadang dan usul ucapan dasar presiden, Pengerusi Tetap (Tan Sri Badruddin Amiruldin) sudah melakukan sepenuhnya perkara yang terdapat dalam perlembagaan parti, dan ini termasuk tambahan usul sebagaimana (yang) ada dalam perlembagaan parti itu sendiri.

“Kita merasakan tambahan usul dalam usul ucapan pencadang adalah sepenuhnya mengikut beberapa fasal dalam Perlembagaan UMNO,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengakui, beliau terkejut dengan usul tambahan itu sehingga memanggil timbalannya supaya turun dari pentas kerana pencadang usul terbabit datang dari UMNO Bahagian Rembau yang diketuai Mohamad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, rasional usul tersebut sudah diperincikan oleh semua jurucakap dan beliau sendiri turut meneliti ucapan dasar daripada ketua-ketua sayap parti.

“Kami pun terkejut apabila ada usul tambahan. Saya sendiri panggil Tok Mat (Mohamad) turun dari pentas supaya dia tidak terbabit sebab jurucakap pertama itu datangnya daripada bahagian dia.

“Kami berdua (sebenarnya) tidak mengikuti bagaimana jurucakap, pencadang dan penyokong melakukannya tetapi yakinlah, dari penelitian, memperlihatkan bahawa mereka mahu supaya parti berjalan dengan baik.

“(Biarpun tiada pertandingan dua jawatan utama), untuk jawatan-jawatan Naib Presiden ke bawah, ia terbuka seperti biasa,” katanya. - Getaran, 14 Januari 2023.