USV Digunakan Menyelamat Krew Helikopter Terhempas Pertama Kali Dalam Sejarah

WorldTechnology
10 Jun 2026 • 1:55 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Penggunaan dron di medan perang sebagai unit pemantauan dan membawa senjata telah dilakukan sejak 1917 menerusi Kettering Bug. Teknologi dron dan UAV semakin maju dengan ia kini dihasilkan pada kos yang sangat rendah membolehkannya menjadi dron kamikaze cukup berkesan dalam konflik Ukraine-Rusia.

Tetapi pada 8 Jun lalu, buat pertama kali dalam sejarah sebuah dron permukaan laut (USV) telah digunakan dalam misi menyelamatkan dua krew helikopter AH-64 Apache yang terhempas di pesisir Oman. Helikopter milik Tentera Amerika Syarikat mengalami masalah teknikal ketika melakukan rondaan di Selat Hormuz memaksa ia mendarat di permukaan laut.

Image from: USV Digunakan Menyelamat Krew Helikopter Terhempas Pertama Kali Dalam Sejarah
Saronic Corsair

Sebuah USV Saronic Corsair milik Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) telah digunakan dalam misi menyelamat. Ia dikawal dari jarak jauh tanpa sebarang krew manusia. Kedua-dua krew berjaya menaiki USV sepanjang 7 meter ini sebelum mereka kemudiannya diselamatkan pula menggunakan sebuah helikopter.

USN baru sahaja menggunakan Corsair dalam inventori mereka Mac lalu untuk melakukan misi pemantauan kawasan tanpa meletakkan krew manusia serta aset dalam laluan bahaya di Selat Hormuz. Sebelum ini beberapa USV seperti UISS telah diuji USN untuk tugas membersihkan periuk api.

Image from: USV Digunakan Menyelamat Krew Helikopter Terhempas Pertama Kali Dalam Sejarah
Unmanned Influence Sweep System (UISS)

Jarang sekali didengari dron digunakan bagi tujuan menyelamatkan anggota di medan perang. Ia pernah diuji untuk membawa kargo oleh Tentera Amerika Syarikat tetapi tidak diteruskan. Hanya Ukraine setakat ini menggunakannya untuk membawa anggota cedera keluar daripada barisan hadapan.

Kekurangan rekrut baharu dan teknologi dron yang semakin maju menjadikan penggunaannya oleh tentera semakin popular. Projek Wingman, Replicator dan Skyborg membolehkan dron perang beroperasi dengan pesawat tempur manusia.

China dan Turkiye pula melancarkan kapal pengangkut dron bagi keperluan tentera laut masing-masing. Semalam projek FCAS antara Perancis dan Jerman pula dibatalkan kerana Canselor Jerman tidak melihat perlunya pesawat tempur dengan manusia terus dibangunkan untuk keperluan Luftwaffe.