'Utamakan buahan tempatan, kurangkan import RM7.5 bilion' - Izham

LocalFood
24 Jul 2026 • 7:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Utamakan buahan tempatan, kurangkan import RM7.5 bilion' - Izham
Izham (tengah) melakukan gimik perasmian semaa Majlis Majlis Perasmian Festival Buah-buahan Tempatan Selangor di Aneka Walk, Seksyen 13, di sini pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menggesa rakyat mengutamakan pembelian buah-buahan tempatan bagi membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import buah-buahan dan sayur-sayuran yang kini mencecah kira-kira RM7.5 bilion setahun.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, usaha itu bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan petani tempatan, malah mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan negara.

Menurut beliau, masyarakat juga digalakkan menjadikan buah-buahan tempatan sebagai pilihan termasuk dijadikan buah tangan atau bakul hadiah bagi menyokong hasil keluaran usahawan tempatan.

"Kalau kita boleh kurangkan pergantungan itu dengan memilih buah tempatan, ia banyak membantu meningkatkan jualan hasil pertanian negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Festival Buah-buahan Tempatan Selangor di Aneka Walk, Seksyen 13 di sini pada Jumaat.

Festival selama tiga hari bermula pada Jumaat hingga Ahad itu menghimpunkan kira-kira 40 tan buah-buahan membabitkan 15 jenis hasil tempatan termasuk durian, manggis, rambutan, nanas dan jambu.

Izham memberitahu, kebanyakan buah yang dipasarkan adalah hasil keluaran usahawan Selangor, selain sebahagian kecil dibawa masuk dari negeri lain bagi memenuhi permintaan pengunjung.

"Sepanjang festival ini kita menyasarkan nilai jualan sekitar RM250,000 selain menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan 'happy hour', pertandingan kanak-kanak dan promosi produk berasaskan buah-buahan tempatan," ujar beliau.

Mengulas mengenai fenomena cuaca panas, Izham berkata, setakat ini pengeluaran buah-buahan dan hasil pertanian di Selangor masih terkawal kerana bekalan air mencukupi dengan paras tujuh empangan kekal melebihi 85 peratus.

"Kerajaan negeri akan terus memantau paras sungai dan bekalan air bagi memastikan sektor pertanian tidak terjejas sekiranya cuaca panas berpanjangan," tambah beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved