UTeM jalin kerjasama strategik dengan institusi pendidikan tinggi India, perkukuh jaringan antarabangsa

27 May 2025 • 2:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UTeM jalin kerjasama strategik dengan institusi pendidikan tinggi India, perkukuh jaringan antarabangsa

image is not available

27/05/2025 - 14:40

UTeM dan Institut Teknologi dan Sains PACE, India telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka. Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 27 Mei – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalin kerjasama strategik dengan Institut Teknologi dan Sains PACE (PACE ITS), sebuah institusi pendidikan tinggi swasta terkemuka dari India bagi memperkukuh jaringan antarabangsa.

Kerjasama tersebut dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Naib Canselor UTeM, Profesor Tan Sri Dr Massila Kamalrudin berkata, perjanjian itu merupakan langkah strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa UTeM, khususnya dalam bidang mobiliti pelajar, pembangunan kapasiti, penyelidikan bersama dan pemindahan pengetahuan.

"UTeM dijadualkan menerima 15 pelajar antarabangsa dari Institut Teknologi dan Sains PACE pada Julai 2025, selain projek perundingan pembangunan sahsiah pelajar pada Disember 2025 yang melibatkan penyertaan pelajar institur berkenaan dalam program pembangunan holistik dan kepimpinan.

"Kerjasama dua hala itu juga membuka peluang kepada pelaksanaan geran dan program pembangunan kapasiti yang dapat memperkukuh keterlibatan akademik serta profesional antara kedua-dua institusi," katanya dalam satu kenyataan.

Ia turut memberi tumpuan kepada penganjuran bengkel dan seminar bersama melibatkan bidang seperti Kepintaran Buatan dan Keselamatan Pengkomputeran.

"Usaha ini juga selari dengan Pelan Strategik UTeM dan menyokong Fokus 4 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi," tambah Massila.

Majlis pemeteraian turut dihadiri Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) dan Keselamatan Siber, Prof Madya Ts. Dr. Muhammad Hafidz Fazli Md Fauadi dan Pengarah Pejabat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGlobe), Hazman Hasib.- DagangNews.com

standard