
PETALING JAYA: Pendekatan baharu dalam kebersihan diri dan kawalan jangkitan menjadi tumpuan apabila pakar mikrobiom, antiinfektif dan penjagaan kesihatan dari enam negara berhimpun dalam seminar anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pengarah Pusat Inovasi Agroteknologi bagi Bio Pemprosesan Termaju (ICA), UTM, Prof. Dr. Hesham Ali El Enshasy berkata, seminar berkenaan menghimpunkan pakar dari Malaysia, Finland, Afrika Selatan, Mesir, Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia untuk membincangkan perkembangan terkini dalam bidang berkenaan.
Katanya, perbincangan turut memberi tumpuan kepada peranan mikroorganisma terhadap kesihatan manusia, termasuk kepentingan mengekalkan keseimbangan mikrob semula jadi dalam tubuh.
“Mikroorganisma berbahaya boleh menyebabkan jangkitan dan penyakit, manakala mikroorganisma berfaedah membantu mengekalkan keseimbangan mikrob semula jadi tubuh serta menyokong sistem pertahanannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seminar saintifik pertama anjuran UTM bertajuk ‘Ke Arah Piawaian Kebersihan Baharu – Daripada Penghapusan Menyeluruh kepada Antiinfektif Pintar’ itu turut mendapat kerjasama World Bioeconomy Association (WBA) dan SATEERA.
Hesham Ali berkata, seminar berkenaan turut meneroka konsep ‘antiinfektif pintar’ sebagai pendekatan yang bukan sahaja bertujuan mengawal mikroorganisma berbahaya, malah memelihara mikroorganisma yang bermanfaat.
“Perbincangan turut meneliti sama ada kaedah kebersihan dan antiinfektif pada masa hadapan boleh menyasarkan mikroorganisma berbahaya tanpa menjejaskan mikroorganisma yang bermanfaat.
“Pendekatan ini bukan bertujuan menggantikan rawatan antimikrob atau rawatan perubatan sedia ada, sebaliknya sebagai pendekatan tambahan dalam keadaan yang tidak memerlukan semua mikroorganisma dihapuskan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampus UTM Pagoh, Prof. Ts. Dr. Ida Idayu Muhamad berkata, penganjuran seminar itu dapat menggalakkan lebih banyak penyelidikan serta perbincangan berasaskan fakta dalam bidang berkenaan.
Katanya, seminar tersebut turut menjadi platform bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa serta perkongsian ilmu berasaskan bukti dalam bidang inovasi kebersihan dan penjagaan kesihatan yang sedang berkembang. – UTUSAN
The post UTM rungkai konsep ‘Antiinfektif Pintar’ appeared first on Utusan Malaysia.

