Polis tahan beberapa individu, dalang video intim dikenal pasti

14 Jul 2019 • 12:38 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Beberapa individu termasuk ahli parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam pembikinan dan penyebaran video intim bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Muhamad Haziq Abdul Aziz dengan seorang lelaki mirip menteri Kabinet.

Video panas tersebut mula disebarkan menerusi media sosial sejak 11 Jun lalu.

Memetik laporan sebuah portal berita, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pembikinan dan penyebaran video itu dibuat melalui pakatan tertentu dan dalang di sebalik kejadian itu sudah dikenal pasti.

"Berdasarkan siasatan terkini, wujud satu bentuk pakatan atau konspirasi di belakang kumpulan individu terbabit untuk menyebarkan video berkenaan.

"Kita sudah mempunyai bayangan kepada dalang utama dan akan mengambil tindakan terhadapnya sebaik siasatan dilengkapkan, selain bukti-bukti kukuh diperoleh.

"Tidak kira sama ada dia (suspek) ahli politik, badan bukan kerajaan atau individu berkepentingan, kita (polis) akan tetap ambil tindakan.

“Sebaik siasatan untuk mengaitkan dalang berkenaan selesai, kita akan terus melakukan tindakan menahannya semua yang terbabit.

“Malah mereka yang terbabit dalam menyebarkan video hubungan sejenis itu juga akan diambil tindakan," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Perumahan Blok Melati Polis Diraja Malaysia di Setiawangsa, di sini malam tadi.

Abdul Hamid berkata, pada masa ini polis sudah mengambil keterangan daripada saksi berkaitan serta melakukan tangkapan ke atas mereka yang disyaki menyebarkan video berkenaan.

Pada 12 Jun lalu, Muhamad Haziq mengakui dirinya seorang daripada dua lelaki yang dirakam mengadakan hubungan intim sejenis di sebuah hotel di Sandakan pada Mei lalu.

Muhamad Haziq turut menamakan seorang menteri Kabinet sebagai pasangannya dalam video itu.

Susulan pengakuan itu, Muhamad Haziq dipecat daripada jawatan Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin.

PKR turut mengambil tindakan memecat keahliannya pada 3 Julai lalu.