Uzma, MARA teroka peluang kerjasama strategik perkukuh tenaga boleh diperbaharui, pembangunan bakat

LocalBusiness & Finance
4 May 2026 • 6:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Uzma, MARA teroka peluang kerjasama strategik perkukuh tenaga boleh diperbaharui, pembangunan bakat Image from: Uzma, MARA teroka peluang kerjasama strategik perkukuh tenaga boleh diperbaharui, pembangunan bakat hamden04/05/2026 - 18:18 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Mei - Uzma Berhad memeterai kerjasama strategik dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memperkukuh pembangunan dalam sektor tenaga, teknologi serta pembangunan modal insan negara.

 

Kerjasama itu dimeterai melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersempena Majlis Gala Persada MARA sempena sambutan ulang tahun ke-60 agensi berkenaan yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur.

 

MoU berkenaan akan berkuat kuasa selama tiga tahun bermula 3 Mei 2026, dan boleh dilanjutkan berdasarkan persetujuan bersama kedua-dua pihak.

 

Menurut Uzma, kerjasama tersebut melibatkan dua fokus utama iaitu kerjasama perniagaan serta pembangunan keupayaan, yang akan diterokai secara bersama oleh kedua-dua pihak.

 

Uzma

 

Di bawah aspek kerjasama perniagaan, Uzma dan MARA akan meneroka peluang dalam tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pertahanan, kejuruteraan marin bagi sektor minyak dan gas, serta pelaburan strategik berkaitan peralihan tenaga dan pembangunan teknologi.

 

“Sayap tenaga baharu Uzma berada pada kedudukan strategik untuk menyokong MARA sebagai rakan kerjasama dalam aspek teknikal, struktur komersial serta pengoptimuman prestasi aset jangka panjang,” menurut kenyataan itu.

 

Syarikat itu berkata, kerjasama tersebut turut menyokong agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) termasuk usaha penyahkarbonan, pengurusan sumber mampan serta hasil kelestarian jangka panjang.

 

Bagi pembangunan keupayaan pula, kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada pengukuhan saluran bakat melalui program akademik dan eksekutif yang dilaksanakan menerusi Institusi Pendidikan MARA (IPMA).

 

Ia merangkumi bidang seperti kepimpinan dan kecerdasan buatan (AI), selain menyediakan laluan latihan industri serta program perantisan berstruktur.

 

Pendedahan Industri

Inisiatif itu turut membuka peluang kepada graduan MARA, khususnya daripada institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), untuk memperoleh pendedahan industri yang lebih praktikal serta relevan dengan keperluan operasi sebenar.

 

Pada masa sama, ia juga menyokong pembangunan serta pemerkasaan vendor Bumiputera dalam rantaian nilai sektor tenaga dan teknologi yang lebih luas.

 

Kerjasama ini dijangka memperkukuh hubungan antara industri dan institusi pendidikan, selain menyokong pembangunan bakat Bumiputera dalam sektor bernilai tinggi seperti tenaga, teknologi digital dan kejuruteraan termaju.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Uzma, Kamarul Redzuan Muhamed berkata, kerjasama dengan MARA satu langkah penting dalam memperkukuh pembangunan bakat, industri tenaga serta ekosistem vendor Bumiputera negara.

 

"Ketika ini keperluan utama adalah penyelarasan lebih kukuh antara industri dan institusi bagi memastikan pembangunan bakat kekal relevan, praktikal dan bersedia menghadapi masa depan," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard