Nelayan Vietnam tangkap sotong tanpa lesen ditahan

11 Jul 2019 • 5:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUANTAN - Dua bot zon C tempatan bersama 16 awak-awak warga Vietnam yang memiliki 80 alat mencadat sotong tanpa lesen ditahan penguat kuasa Jabatan Perikanan Pahang di perairan Tanjung Sekukuh Pekan, Ahad lalu.

Pengarahnya, Datuk Azahari Othman berkata, aktiviti itu dikesan menerusi rondaan pasukan Bahagian Perlindungan Sumber JPP di perairan Pekan kira-kira 21.5 batu nautika selepas membuat pemeriksaan terhadap dua bot terbabit kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, bot yang digunakan warga Vietnam itu berdaftar di Pekan dan menggunakan pangkalan Kuala Pahang, Pekan, tetapi tidak memiliki lesen melakukan aktiviti mencadat sotong.

“Hasil pemeriksaan lanjut juga kita dapati hanya sebuah bot sahaja memiliki hasil tangkapan sotong pelbagai saiz sebanyak 100 kilogram (kg) bernilai RM250 yang dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Siasatan ke atas semua awak-awak berusia antara 23 hingga 49 tahun itu memiliki permit kerja dan perjalanan yang sah serta mereka dipercayai lebih menumpukan kepada aktiviti menangkap sotong," katanya ketika dihubungi hari ini.

image is not available
Pegawai Penyiasat Bahagian Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pahang, Mohd Affendy Abdul Manap menunjukan alat mencandat sotong yang dirampas.

Azahari berkata, pemilik bot terbabit juga akan dikenakan kompaun mengikut Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu, menurutnya, kumpulan nelayan itu menggunakan teknik menangkap sotong menggunakan candat galah atau joran buluh yang lebih terkenal digunakan di negara jiran.

“Saya percaya semua peralatan menangkap sotong seperti candat, lampu dan joran buluh dibawa masuk daripada negara asal nelayan terbabit.

“Ini kerana cara yang digunakan itu dikatakan mampu menangkap sotong dengan jumlah yang banyak. Bahagian Perlindungan Sumber JPP akan supaya akan lebih kerap melakukan rondaan terutama di perairan Pekan," katanya.

Azahari berkata, nelayan tempatan diminta untuk bekerjasama memberi maklumat sekiranya terserempak dengan nelayan asing yang berada diperairan negeri ini.