195 mangsa banjir dipindahkan

22 Oct 2019 • 10:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

BUKIT MERTAJAM - Seramai 195 orang termasuk empat bayi di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) selepas banjir melanda rumah mereka berikutan hujan lebat lebih enam jam di kawasan berkenaan.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, kesemua mangsa banjir yang terdiri daripada 46 keluarga itu dipindahkan bermula jam 7 malam tadi hingga 3 pagi ini.

"Pusat Pemindahan Dewan Perda Timur yang paling awal dibuka iaitu 7 malam telah menempatkan dua keluarga dari Kampung Permatang Rawa membabitkan 11 orang termasuk seorang bayi lelaki berusia 57 hari," katanya di sini hari ini.

Katanya, seramai 22 mangsa banjir termasuk seorang bayi perempuan berusia 6 bulan daripada empat keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Bukit Teh manakala 66 orang daripada 15 keluarga dipindahkan ke PPS Surau Kampung Pisang.

Menurutnya, sebuah lagi PPS iaitu di Kampung Permatang Tok Suboh telah menempatkan seramai 96 orang termasuk dua bayi perempuan daripada 25 keluarga.

Boon Poh berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan banjir dari semasa ke semasa bagi memastikan penduduk yang terjejas akibat banjir dipindahkan ke pusat pemindahan dalam tempoh segera.

"Setakat ini, keadaan terkawal dan mangsa banjir termasuk 51 orang kanak-kanak itu telah dipindahkan ke pusat pemindahan serta berada dalam keadaan baik," katanya.

Katanya, rumah dan kawasan mangsa banjir dinaiki air antara 0.3 meter dan 0.75 meter.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lima jalan raya di daerah itu yang ditutup kepada semua jenis kenderaan semalam berikutan dinaiki air antara 0.1 meter hingga 0.45 meter telah mula dibuka secara berperingkat sejak pukul 4 pagi ini.

"Jalan yang terlibat ialah Jalan Tembikai, Jalan Kulim, Jalan Kebun Sireh, Jalan Permatang Tok Subuh dan Jalan Perindustrian Bukit Minyak.

"Polis turut membuat pemantauan serta menjaga kawasan terjejas banjir bagi memastikan tidak berlaku sebarang jenayah," katanya. - Bernama