Vaksin Influenza Percuma Warga Emas: Lindungi Diri Sekarang

LocalHealth & Fitness
14 Oct 2025 • 10:16 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Vaksin Influenza Percuma Untuk Warga Emas: Lindungi Diri Sekarang

Sejak kebelakangan ini, negara menyaksikan peningkatan ketara kes jangkitan influenza yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, golongan dewasa, serta warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan kronik.

Situasi ini membimbangkan kerana influenza bukan sekadar selesema biasa sebaliknya ia boleh menyebabkan komplikasi serius yang memerlukan rawatan di hospital malah boleh mengancam nyawa.

Bagi mengekang penularan jangkitan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan Program Imunisasi Influenza Kebangsaan.

Ianya merupakan satu inisiatif penting yang memberi peluang kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas dengan penyakit kronik untuk mendapatkan vaksin influenza secara percuma bermula Februari 2025.

Program ini bukan sahaja menyasarkan perlindungan individu malah membantu memperkukuh benteng kesihatan awam negara.

Influenza: Bukan sekadar selsema biasa

Influenza ialah jangkitan saluran pernafasan atas yang mudah merebak melalui titisan udara apabila seseorang yang dijangkiti bersin, batuk atau bercakap.

Simptomnya sering disalah anggap sebagai selesema biasa seperti demam, sakit tekak, batuk, hidung berair, sakit otot dan keletihan.

Namun, bagi mereka yang berisiko tinggi, influenza boleh berkembang menjadi komplikasi yang lebih serius seperti Pneumonia, radang jantung, sepsis dan dalam kes teruk boleh menyebabkan kematian.

Menariknya virus influenza boleh berubah (bermutasi) setiap tahun. Oleh itu, vaksin influenza juga dikemas kini secara berkala untuk memastikan perlindungan seiring dengan strain virus terkini.

Ini sebabnya vaksin influenza disyorkan untuk diambil setiap tahun bukan hanya sekali seumur hidup.

Kenapa kes influenza semakin meningkat?

Menurut KKM, peningkatan kes influenza tahun ini banyak dipengaruhi oleh perubahan cuaca dan peralihan musim hujan.

Suhu yang lebih sejuk dan keadaan udara yang lebih lembap memudahkan virus influenza bertahan lebih lama di persekitaran.

Di samping itu, peningkatan aktiviti sosial dan perjalanan domestik serta antarabangsa turut mempercepatkan penyebaran virus ini dalam komuniti.

Lebih membimbangkan, ramai yang masih menganggap influenza sebagai penyakit ringan dan tidak mendapatkan rawatan awal.

Sedangkan bagi golongan berisiko tinggi seperti warga emas, wanita hamil dan pesakit kronik, jangkitan ini boleh menyebabkan kemerosotan kesihatan yang serius dalam masa singkat.

Golongan warga emas perlu lindungan tambahan

Golongan warga emas sering mengalami sistem imun yang semakin lemah seiring pertambahan usia.

Ditambah pula dengan kehadiran penyakit kronik seperti Diabetes mellitus, penyakit jantung, hipertensi atau penyakit paru-paru, tubuh mereka menjadi lebih mudah terdedah kepada komplikasi influenza.

Dalam banyak kes, jangkitan ini boleh membawa kepada kemasukan ke hospital, rawatan intensif atau lebih teruk risiko kematian.

Dengan menerima vaksin influenza setiap tahun, risiko komplikasi boleh dikurangkan dengan ketara.

Malah, kajian kesihatan global juga menunjukkan bahawa vaksinasi influenza membantu mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan warga emas.

Di mana vaksin boleh didapati?

Untuk memastikan akses lebih meluas, KKM telah memperluaskan saluran pemberian vaksin influenza di seluruh negara:

  • Hospital kerajaan dan klinik kesihatan. Pemberian vaksin percuma untuk warga emas layak.
  • Klinik swasta pula menawarkan vaksin influenza untuk sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan perlindungan tambahan.
  • Farmasi terpilih juga menyediakan vaksinasi berbayar untuk kemudahan masyarakat umum.

Program ini memberi keutamaan kepada warga emas berisiko tinggi namun individu lain juga digalakkan mendapatkan vaksin di klinik swasta atau farmasi bagi mengurangkan risiko jangkitan komuniti.

Syarat kelayakan Program Vaksin Influenza secara percuma

Untuk menikmati manfaat vaksin percuma ini, seseorang perlu:

  • Berumur 60 tahun ke atas
  • Mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik (contohnya diabetes, darah tinggi, penyakit jantung atau paru-paru).

Langkah ini merupakan pelaburan kesihatan yang sangat penting bagi mengelakkan risiko komplikasi serius akibat jangkitan influenza.

Cara tempah janji temu untuk suntikan vaksin influenza

Bagi memudahkan proses, janji temu boleh dibuat melalui beberapa saluran mudah:

  • Aplikasi MySejahtera – Log masuk dan pilih menu “Janji Temu” untuk mencari slot imunisasi influenza warga emas di klinik kerajaan berdekatan.
  • Walk-in ke klinik kesihatan (KK) – Bagi mereka yang lebih selesa hadir terus ke kaunter.
  • Hubungi Pejabat Kesihatan Daerah – Untuk mengetahui senarai fasiliti kesihatan yang menyertai program ini.
  • Portal dan media sosial rasmi KKM – Untuk maklumat terkini dan pengumuman rasmi.

Kumpulan yang disarankan ambil vaksin influenza

Walaupun tumpuan utama program ini adalah warga emas, KKM turut menyarankan vaksinasi influenza tahunan kepada kumpulan lain yang juga berisiko tinggi, termasuk:

  • Petugas kesihatan dan barisan hadapan
  • Wanita hamil
  • Individu berusia 50–59 tahun
  • Mereka yang tinggal di fasiliti tertutup seperti rumah jagaan
  • Pesakit kronik atau individu dengan sistem imun lemah

Langkah pencegahan ini amat penting bagi mengurangkan kadar penularan jangkitan dalam komuniti.

Vaksinasi influenza memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada individu malah kepada masyarakat secara keseluruhan.

Ia membantu melindungi diri daripada jangkitan serta mengurangkan risiko komplikasi serius. Pada masa yang sama, vaksin ini juga melindungi orang sekeliling dengan mengurangkan penularan virus kepada ahli keluarga, rakan sekerja dan komuniti.

Apabila lebih ramai divaksin, kadar kemasukan ke hospital dapat dikurangkan sekali gus meringankan beban terhadap sistem kesihatan negara.

Oleh itu, wabak influenza yang sedang meningkat kini menjadi peringatan jelas bahawa langkah pencegahan tidak boleh dipandang ringan.

Vaksin influenza merupakan salah satu cara paling berkesan untuk melindungi diri terutamanya bagi warga emas dan golongan berisiko tinggi.

Jika anda atau ahli keluarga berumur 60 tahun ke atas dan mempunyai penyakit kronik, ambillah peluang mendapatkan vaksin influenza percuma ini secepat mungkin.

Tempah janji temu melalui MySejahtera atau kunjungi klinik kesihatan berhampiran anda.

Sumber : FB KKM