Vale, reNIKOLA jalin kerjasama jana tenaga boleh baharu di Terminal Maritim Teluk Rubiah 

7 Jul 2023 • 10:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Vale, reNIKOLA jalin kerjasama jana tenaga boleh baharu di Terminal Maritim Teluk Rubiah

zulfadli

07/07/2023 - 10:57

KUALA LUMPUR 7 Julai - Salah satu syarikat perlombongan terkemuka dunia, Vale melalui anak syarikatnya bekerjasama dengan syarikat tenaga boleh baharu Malaysia, reNIKOLA untuk menjana tenaga solar di Terminal Maritim Teluk Rubiah (TRMT).

Dimiliki sepenuhnya dan dioperasikan oleh Vale, TRMT adalah sebuah pusat pengedaran bijih besi utama bagi rantau Asia Pasifik yang merupakan pasaran bijih besi terbesar di dunia.

Melalui kerjasama ini, reNIKOLA akan membangunkan sistem fotovoltan (PV) di TRMT, dengan kapasiti lebih kurang 350 kilowatt-peak (kWp), tanpa kos awal kepada Vale.

Sebagai gantinya, Vale akan membeli tenaga elektrik yang dihasilkan dari sistem PV pada kadar yang dipersetujui bersama selama 15 tahun setelah mulanya operasi sistem tersebut.

Tenaga boleh baharu yang dihasilkan melalui kerjasama ini dijangka memadai untuk menampung keperluan tenaga elektrik bagi bahagian pentadbiran TRMT.

Ketua Pegawai Eksekutif Vale Malaysia, Leonardo Paiva berkata, kerjasama dengan reNIKOLA adalah bukti komitmen Vale yang lebih besar untuk menyahkarbonkan operasinya di Malaysia secara beransur-ansur.

"Kami menyelaraskan strategi jangka panjang operasi kami di TRMT untuk menyokong matlamat global kami," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut Leonardo, secara global, Vale berazam untuk menjadi syarikat sifar bersih karbon dalam Skop 1 dan 2 menjelang 2050.

"Kami juga berharap kerjasama kami dengan reNIKOLA akan menyokong pertumbuhan ekosistem tenaga boleh baharu yang kukuh di Malaysia serta mencipta peluang untuk bakat tempatan dan pakar di kawasan ini, termasuk di Perak," katanya.

Kerja-kerja pemasangan sistem PV di TRMT dijadualkan siap pada awal 2024.

Direka untuk mengoptimakan penggunaan ruang dan sumber, panel solar akan dipasang di atas kawasan tempat letak kereta terbuka sedia ada di TRMT, menyediakan naungan dan meningkatkan keselamatan pekerja dan rakan niaga Vale yang sering menggunakan kemudahan tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan reNIKOLA, Boumhidi Adel berkata, kerjasama dengan Vale merupakan pencapaian penting yang menyumbang kepada peningkatan komitmen syarikat untuk menyokong dan memudahkan pembangunan ekonomi lestari di Malaysia.

Katanya, projek ini adalah pencapaian penting bagi reNIKOLA dan mengukuhkan komitmen teguh pihaknya dalam mengalakkan penggunaan tenaga boleh baharu di negara ini.

"Kami komited untuk memastikan penyelesaian yang selamat dan tepat pada masanya, membolehkan kami merealisasikan nilai timbal balik maksimum daripada kerjasama ini untuk kedua-dua pihak. Bersama-sama, kita memacu pertumbuhan ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan," katanya. - DagangNews.com