ValuationXchange: Platform dibangunkan Infomina dan Geolytik tingkatkan ketelusan pasaran hartanah

13/08/2025 - 10:47
Majlis pelancaran ValuationXchange di Tropicana Golf and Country Club, Petaling Jaya / Gambar The Edge Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 13 Ogos – Infomina Geolytik Sdn Bhd secara rasmi melancarkan ValuationXchange, sebuah platform penilaian hartanah digital yang menghubungkan penilai, bank dan profesional hartanah bagi membolehkan keputusan pembiayaan dibuat berasaskan penilaian risiko yang lebih tepat.
Infomina Geolytik adalah hasil usaha sama antara penyedia rumusan teknologi, Infomina Bhd dan Geolytik Tech Sdn Bhd.
ValuationXchange turut menerima pengiktirafan daripada PEPS Ventures Bhd, cabang komersial Persatuan Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah Malaysia (PEPS Malaysia).
Pengarah Eksekutif Infomina Geolytik, Joe Thor berkata, platform tersebut akan membantu meningkatkan kecekapan dan pematuhan industri penilaian.
“Kami melancarkan platform yang bukan sahaja memudahkan proses indikasi nilai serta penilaian formal antara bank dan panel penilai, malah kami akan membawa kecekapan dan pematuhan lebih tinggi terhadap standard penilaian Malaysia melalui aliran kerja automasi, ,” katanya.
Tambahnya, selain menyediakan platform telus kepada bank, mereka juga akan dibekalkan dengan prospek yang telah disahkan terus dari sumber.
“Sebaik sahaja ejen menandatangani surat tawaran pembelian atau sewaan, ValuationXchange akan menghubungkan prospek tersebut secara automatik kepada bank.
“Mereka akan menerima maklumat hubungan yang telah disahkan, sedia untuk mendapatkan indikasi nilai daripada panel masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Presiden PEPS Malaysia, Subramaniam Arumugam berkata, harga hartanah telah melonjak secara tidak wajar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berlaku kenaikan harga hartanah secara tidak wajar apabila diskaun dan rebat disembunyikan daripada harga asal, sekali gus menjejaskan ketelusan nilai pasaran.
“Keadaan ini mengelirukan pembeli, meningkatkan risiko kepada bank dan menyukarkan penilai untuk menyediakan laporan yang benar-benar mencerminkan nilai pasaran sebenar.
“Inilah sebabnya platform digital ini diwujudkan agar kita dapat mencari penyelesaian praktikal yang melindungi kerja penilai, mengekalkan standard tinggi dan memastikan semua pihak dalam industri mematuhi peraturan yang sama.
“Berbanding dahulu, prosesnya rumit kerana terlalu banyak kertas kerja dan tiada sistem jelas untuk mengawal akauntabiliti,” katanya.
Platform itu juga membolehkan ejen hartanah membuat pra-pengesahan kelayakan pembeli sebelum proses penilaian dan penyerahan permohonan pinjaman, sekali gus mengurangkan kadar penolakan, memendekkan tempoh pemprosesan dan memberikan pengalaman lebih telus kepada pembeli rumah.
Seiring pelancaran itu, Infomina Geolytik turut mengumumkan kerjasama dengan agensi hartanah ESP Global.
Ketua Pegawai Eksekutif ESP Global, Aldrin Tan berkata, kerjasama itu memberi ejen mereka peranan lebih besar dalam proses pembiayaan.
“Dengan membantu pra-kelayakan pembeli dan menyerahkan permohonan yang lebih lengkap, kami membolehkan proses pinjaman yang lebih pantas, telus dan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya. - DagangNews.com
standard
