Valve Berhadapan Tuntutan Saman RM3.5 Bilion Di UK Kerana Tuduhan Manipulasi Pasaran Permainan Video

TechnologyBusiness & Finance
30 Jan 2026 • 1:57 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Steam boleh dikatakan platform pembelian permainan komputer yang terbesar di dunia, walaupun terdapat pelbagai penawaran lain seperti Epic Games Store, GoG dan sebagainya. Terkini, ia telah dilaporkan bahawa Valve, syarikat pembangun disebalik Steam sedang menghadapi kes saman di United Kingdom kerana dakwaan memanipulasi harga dan pasaran permainan komputer melalui platform tersebut.

Kes saman ini juga bukanlah sesuatu yang baru. Ia difailkan pada tahun 2024, tetapi hanya dibenarkan untuk diteruskan oleh Tribunal Rayuan Persaingan (Competition Appeal Tribunal) baru-baru ini, dengan tuntutan saman bernilai £656 juta (~RM3.5 bilion).

image is not available

Saman tersebut, yang difailkan oleh aktivis digital Vicki Shotbolt mendakwa bahawa Valve, melalui platform Steam telah memanipulasi pasaran penjualan permainan komputer di negara tersebut dengan tidak membenarkan pembangun permainan untuk menjual permainan untuk menjual permainan komputer mereka pada harga yang lebih murah daripada platform Steam.

Dalam pada itu, potongan komisen 30 peratus daripada harga jualan di Steam juga menyebabkan pembangun menetapkan harga yang mahal pada platform tersebut supaya mereka boleh mendapatkan keuntungan yang sepatutnya.

image is not available

Dalam pada itu, Vicki turut mengatakan bahawa permainan komputer yang dibeli di Steam tidak serasi dengan kandungan tambahan DLC (downloadable content) yang dibeli dari platform lain, dan bagaimana untuk banyak permainan di platform tersebut, pengguna perlu sentiasa dilog masuk ke akaun Steam sebelum mereka boleh mula bermain dengannya.

Steam kini mempunyai 132 juta pengguna aktif di seluruh dunia, dan dilaporkan telah mencatat keuntungan $16 bilion pada tahun 2025, yang merupakan peningkatan 5.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.