Valve Mengesahkan Steam OS Akan Ke ASUS ROG Ally – Mungkin Hadir Dengan Ciri Dwi-Boot

TechnologyDigital
16 Aug 2024 • 11:18 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Beberapa hari lalu kami telah melaporkan bahawa Valve nampaknya telah mula memperkenalkan kemaskini kepada sistem operasi Steam OS mereka yang nampaknya menambah sokongan kepada butang-butang tambahan yang hadir pada konsol ASUS ROG Ally.

Melalui The Verge, Valve nampaknya telah mengesahkan bahawa mereka memang sedang mengemaskini sistem operasi Steam OS mereka untuk digunakan pada konsol ASUS tersebut, yang dikatakan adalah diantara konsol mudah-alih PC yang paling laris di pasaran sekarang.

Apa yang menarik ialah ini bukanlah suatu kerjasama rasmi diantara kedua-dua syarikat tersebut, tetapi mungkin dilihat sebagai permulaan untuk menguji samada ia adalah berbaloi untuk Valve memperkenalkan sistem operasi tersebut ke pasaran yang lebih meluas.

Ini juga tidak bermakna bahawa ASUS akan mula memasarkan sistem operasi Steam OS dengan konsol-konsol mereka. Untuk ASUS, kerjasama bersama Microsoft dilakukan kerana sistem operasi Windows merupakan perisian yang paling digunakan oleh golongan gamer, dan sokongan daripada syarikat tersebut penting untuk memastikan konsol-konsol mereka berfungsi dengan baik.

Walaupun ia tidak diketahui lagi bilakah kemaskini Steam OS 3.6.9 ini boleh dimuat-turun, pihak Valve juga telah mengatakan bahawa ada kemungkinan bahawa mereka akan menyokong ciri dwi-boot untuk Steam OS dan Windows 11 dalam iterasi sistem operasi tersebut di masa hadapan.

Mereka mengatakan bahawa ia adalah salah satu ciri penting yang mereka mahu perkenalkan, tetapi buat masa ini mereka masih lagi sedang memastikan bahawa Steam OS boleh digerakkan dengan lancar apabila ia diperkenalkan untuk ROG Ally kelak.