Vantage Data Centers labur AS$1.6 bilion, ambil alih kompleks pusat data di Taman Teknologi Sedenak, Johor

LocalTechnology
11 Sep 2025 • 11:48 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Vantage Data Centers labur AS$1.6 bilion, ambil alih kompleks pusat data di Taman Teknologi Sedenak, Johor

image is not available

11/09/2025 - 11:48

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept – Vantage Data Centers dari Amerika Syarikat merancang untuk mengambil alih kompleks pusat data hiperskala di Taman Teknologi Sedenak, Johor sebagai sebahagian daripada pelaburan bernilai AS$1.6 bilion (RM6.8 bilion) bagi mengembangkan operasinya di Asia Pasifik.

Kompleks berkeluasan hampir 73 ekar itu merupakan sebahagian daripada portfolio Yondr Group yang baru-baru ini diperoleh DigitalBridge Group Inc, iaitu salah satu pelabur utama Vantage.

Dengan penambahan Johor, Vantage akan memiliki kapasiti operasi dan perancangan berjumlah satu gigawatt di seluruh Asia.

Government of Singapore Investment Corporation (GIC Pte Ltd) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA), kedua-duanya dana pelaburan kerajaan, turut bersetuju menyokong pengambilalihan itu serta menyediakan modal tambahan untuk memperkukuh pertumbuhan Vantage di rantau Asia.

Presiden Vantage Data Centers Asia Pasifik, Jeremy Deutsch berkata, komitmen baharu daripada GIC dan ADIA memperluaskan lagi peluangnya dalam infrastruktur digital serantau, dipacu oleh permintaan pesat bagi kecerdasan buatan (AI).

“Kompleks yang akan dikenali sebagai JHB1 itu bakal menawarkan lebih 300 megawatt kapasiti merentasi tiga pusat data apabila siap sepenuhnya. Lokasinya terletak di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura,” katanya dalam satu kenyataan.

Gelombang pembangunan pusat data kini melanda Malaysia seiring ledakan permintaan infrastruktur digital untuk AI dan pengkomputeran lanjutan.

Johor dijangka menempatkan lebih separuh kapasiti pusat data baharu negara menjelang 2030, menurut anggaran rasmi.

image is not available

Berpusat di AS, Vantage kini mengendalikan lebih 30 pusat data di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, Hong Kong, Australia, Jepun dan Taiwan.

“Dengan sokongan GIC dan ADIA, kami berada pada kedudukan sebagai antara penyedia terbesar infrastruktur digital mampan untuk AI dan awan di rantau ini.

“Pelaburan serta pengambilalihan kompleks pusat data Johor itu dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2025, tertakluk kepada syarat penutupan lazim,” katanya.

Johor kini muncul sebagai lokasi pilihan utama pelabur pusat data antarabangsa kerana faktor kedekatan dengan Singapura yang mempunyai permintaan digital tinggi tetapi kekangan tanah dan tenaga.

Selain itu, Johor menawarkan kos operasi yang lebih kompetitif, bekalan tenaga yang stabil, ketersediaan kawasan perindustrian berskala besar serta sokongan dasar kerajaan Persekutuan dan negeri melalui Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

Gabungan faktor ini meletakkan Johor sebagai hab digital serantau yang strategik, sekaligus menarik minat syarikat global seperti Microsoft, Nvidia, GDS Holdings, dan kini Vantage Data Centers untuk menjadikan negeri itu sebagai tapak pelaburan utama. - DagangNews.com

standard