Vantris Energy capai audit tanpa teguran pertama dalam tempoh 4 tahun, buka langkah untuk keluar dari kategori PN17

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2026 • 11:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Vantris Energy capai audit tanpa teguran pertama dalam tempoh 4 tahun, buka langkah untuk keluar dari kategori PN17 Image from: Vantris Energy capai audit tanpa teguran pertama dalam tempoh 4 tahun, buka langkah untuk keluar dari kategori PN17 liza03/06/2026 - 11:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Jun – Vantris Energy Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Bhd mencatat satu pencapaian penting apabila menerima laporan audit tanpa teguran buat pertama kali dalam tempoh empat tahun yang menunjukkan pemulihan ketara kedudukan kewangannya.

 

Menurut syarikat itu, laporan kewangan beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 telah disahkan oleh juruaudit luar, Messrs Ernst & Young PLT (EY), tanpa sebarang isu besar atau keraguan terhadap keupayaan syarikat untuk terus beroperasi.

 

Perkembangan ini dilihat sebagai petanda positif bahawa usaha penstrukturan semula besar-besaran kumpulan itu mula membuahkan hasil selepas beberapa tahun berdepan tekanan kewangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Muhammad Zamri Jusoh berkata, kejayaan mendapatkan audit bersih ini membuktikan kedudukan kewangan syarikat kini jauh lebih kukuh berbanding sebelum ini.

 

Beliau berkata, langkah penstrukturan semula yang telah disiapkan termasuk pengurangan hutang yang ketara serta pemulihan ekuiti positif telah meletakkan syarikat di landasan yang lebih stabil.

 

“Pencapaian ini juga menjadi satu langkah penting dalam usaha Vantris Energy untuk keluar daripada kategori Nota Amalan 17 (PN17) yang sebelum ini dikenakan oleh Bursa Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Penstrukturan semula yang diselesaikan pada 26 September 2025 melibatkan penerbitan saham dan sekuriti baharu bagi menyelesaikan liabiliti tertunggak syarikat.

 

Hasil daripada langkah tersebut, jumlah pinjaman kumpulan berkurang daripada sekitar RM10.8 bilion kepada RM5.5 bilion yang memberi kelegaan besar terhadap struktur kewangan syarikat.

 

Pada masa sama, kedudukan kunci kira-kira syarikat turut kembali positif dengan nilai aset bersih sekitar RM3 bilion, berbanding keadaan sebelum ini yang tertekan akibat beban hutang tinggi.

 

Syarikat juga menerima suntikan dana daripada Malaysia Development Holding Sdn Bhd yang membolehkannya melunaskan kira-kira RM1.1 bilion kepada lebih 1,400 vendor tempatan dalam ekosistem minyak dan gas.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Ganesh Gunaratnam berkata fokus selepas ini adalah untuk mengekalkan disiplin kewangan serta memperkukuh aliran tunai syarikat.

 

“Pemulihan syarikat perlu disokong oleh prestasi operasi yang mampan dan bukan sekadar daripada langkah penstrukturan semula semata-mata,” katanya.

 

Dengan perkembangan ini, Vantris Energy dilihat berada di landasan pemulihan yang lebih stabil selepas melalui tempoh mencabar dan meningkatkan keyakinan terhadap prospek masa depan kumpulan tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard