Vape campuran dadah cetus jenayah keganasan

LocalHealth & Fitness
25 Jul 2026 • 8:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Vape campuran dadah cetus jenayah keganasan

PETALING JAYA: Rokok elektro­nik atau vape yang dicampur dadah jenis sintetik menyumbang kepada kes jenayah keganasan dan kemalangan maut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu yang berada di bawah pengaruh dadah sintetik akan hilang pertimbangan dan kawalan diri, sekali gus cenderung bertindak di luar kawalan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan seseorang menjadi agresif sehingga terlibat dalam pembunuhan, mencederakan orang lain, membunuh diri serta pelbagai jenayah lain yang dika­tegorikan sebagai narko-crime.

Lebih membimbangkan, terdapat kes pemandu mengambil dadah melalui vape sehingga menyebabkan kemalangan maut.

“Pada peringkat awal, kelihatan normal, tetapi apabila kesan dadah semakin memuncak, mereka hilang keupayaan membuat pertimba­ngan, menjadi keliru dan gagal mengawal kenderaan sehingga memasuki lorong bertentangan serta mencetuskan kemalangan termasuk meragut nyawa.

“Fenomena ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi turut dilaporkan di negara lain, contohnya di Taiwan. Satu kemalangan maut melibatkan pemandu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah, mengorbankan seorang anggota polis yang sedang bertugas di jalan raya,” katanya dalam sesi podcast bersama Utusan Malaysia.

Sindiket dadah kini memanipulasi pasaran vape sebagai medium pengeda­ran, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Mereka mengambil kesempatan terhadap populariti vape kerana peranti itu mudah diperoleh manakala kandungan dadah dalam cecair vape sukar dikesan.

“Dadah lebih mudah dikenal pasti kerana ha­dir dalam bentuk pil, kristal atau cecair. Kini penyalahgunaan dadah menjadi lebih sukar dikesan.

“Luarannya, peranti itu kelihatan seperti vape biasa, tetapi ia berkemungkinan me­ngandungi cecair dicampur dengan bahan psikoaktif atau dadah sintetik.

“Bahan berkenaan boleh dicampurkan ke dalam cecair vape tanpa menghasilkan bau atau asap yang mencurigakan, sekali gus meningkatkan cabaran pihak berkuasa dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah,” katanya.

Hussein berkata, terdapat se­gelintir premis menjual vape menyalahgunakan lesen perniagaan mengambil kesempatan untuk menjual vape yang telah dicampur dengan dadah.

Beliau berkata, industri vape mempunyai rantaian perniagaan melibatkan pengeluar, pengedar utama, pengedar dan peruncit dengan produk dijual secara terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa kawalan ketat terhadap pembeli.

“Keadaan ini memberi ruang kepada sindiket membeli vape daripada perniagaan yang sah sebelum secara haram mencampurkan dadah ke dalam cecair vape di lokasi tersembunyi seperti pangsapuri, apartmen, rumah sewa atau kilang-kilang kecil,” katanya.

Ada dua jenis vape di pasaran iaitu boleh diisi semula dan pakai buang.

“Kebanyakan vape yang disa­lahgunakan dengan campuran dadah ialah jenis yang boleh dibuka dan diisi semula,” kata­nya.

Katanya, vape yang telah dicampur dadah akan dijual di beberapa premis vape yang beroperasi secara haram, pusat hiburan dan dipasarkan secara terus kepada pelanggan melalui rangkaian pengedaran sindiket termasuk platform dalam talian.

“Perkara paling membimbangkan ialah vape ini boleh sampai kepada anak-anak yang berada di rumah melalui platform media sosial.

“Mereka hanya perlu membuat tempahan secara dalam talian dan produk tersebut akan dihantar terus ke rumah menggunakan perkhidmatan kurier.

“Ibu bapa mungkin tidak menyedarinya kerana vape yang dicampur dadah tidak mempunyai bau ketara dan tidak menghasilkan asap yang mudah dikesan,” katanya.

Hussein berkata, ini menyebabkan semakin banyak negara mengambil langkah lebih tegas terhadap penggunaan vape. – UTUSAN

The post Vape campuran dadah cetus jenayah keganasan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved