Vape Perisa ‘Mushroom’ Punca Pemuda Maut Ditikam - Polis

15 May 2026 • 10:20 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Vape Perisa ‘Mushroom’ Punca Pemuda Maut Ditikam - Polis

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut ditikam dalam satu pergaduhan, dipercayai berpunca daripada pertikaian melibatkan cecair vape berperisa ‘cendawan’ di sebuah taman permainan di Merlimau, Melaka.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa berusia 30 tahun mengalami kecederaan parah akibat tikaman di bahagian kanan belakang badan yang menembusi paru-paru, selain kecederaan di kepala akibat diserang.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pada jam 1.26 tengah hari semalam.

Seorang lagi mangsa berusia 26 tahun turut cedera selepas mengalami luka pada tangan kanan dan bahagian badan serta calar pada muka.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu malam tadi, sebelum menahan empat lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati insiden berkenaan dipercayai tercetus akibat salah faham ketika urusan transaksi cecair vape.

“Ketegangan dipercayai berlaku selepas salah seorang mangsa menegur seorang suspek dengan menggunakan kata-kata kesat sebelum suspek bertindak mengejar dan menyerang kedua-dua mangsa menggunakan pisau.

“Dua lagi suspek dipercayai turut memukul mangsa dalam kejadian itu,” katanya.

Lee berkata, kedua-dua mangsa kemudian berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta sebelum mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Merlimau.

“Mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, namun lelaki berusia 30 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes termasuk pakaian, telefon bimbit, sepasang selipar dan sebilah pisau patah yang mempunyai kesan darah.

“Hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala tiga daripada mereka didapati positif methamphetamine,” katanya.

Tambah beliau, proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Melaka esok bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Getaran, 15 Mei 2026