Velum Labs manfaatkan bakat tempatan tembusi pasaran global perisikan siber
zulfadli
24/05/2023 - 12:23
KUALA LUMPUR 24 Mei - Malaysia mengambil langkah ke hadapan dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai hab global untuk teknologi siber bertaraf dunia dengan pengenalan 'V-DARK', sebuah rumusan perisikan siber.
Perisikan siber yang dibangunkan Velum Labs Sdn Bhd, cabang keselamatan siber Kumpulan Sapura itu direka untuk menentang ancaman siber yang ditimbulkan kumpulan Ancaman Berterusan Lanjutan (APT), sindiket jenayah kewangan terancang dan perusahaan sasaran musuh yang lain.
Ia juga boleh digunakan oleh pemain dalam industri kritikal seperti perbankan komersial, pertahanan, insurans, penerbangan, tenaga, dan telekomunikasi dalam mengukuhkan daya tahan siber mereka.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, pelancaran V-DARK oleh Velum Labs mempamerkan keupayaan produk tempatan Malaysia yang terdiri daripada pasukan jurutera berbakat dan pakar dalam menyampaikan rumusan siber termaju.
"Di Velum Labs, kami terlibat dengan firma kejuruteraan di seluruh dunia yang menggunakan teknologi terbaik untuk membolehkan pemindahan pengetahuan dua hala strategik dalam membina set pengetahuan serta kemahiran diperlukan dalam metodologi serangan siber.
"Dengan berbuat demikian, kami dapat memudahkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan serta membangunkan kecerdasan siber generasi akan datang dan rumusan keselamatan siber bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi untuk negara berdaulat lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, pelancaran tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23).

Velum Labs dan Sapura kini berada di LIMA '23 yang mempamerkan teknologi buatan sendiri di bawah Merevolusikan Keupayaan Siber & Ketenteraan Malaysia Untuk Era Digital.
LIMA '23 menandakan pameran terbesarnya setakat ini, menampilkan lebih 600 peserta pameran dari 20 negara, termasuk pemain industri global dari China, Perancis, Jerman, India, Indonesia,Itali, Belanda, Pakistan, Arab Saudi, Singapura, Korea Selatan, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat, dan Emiriah Arab Bersatu.
Maklumat lanjut tentang Velum Labs dan rumusan risikan serta keselamatan sibernya tersedia di www.velumlabs.com. - DagangNews.com


