
KUALA LUMPUR: Beberapa vendor makanan meluahkan kesyukuran diberi peluang untuk membuka gerai di Kembara Riuh yang berlangsung di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu, Selangor semalam.
Mereka lega atas peluang itu yang diberikan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk menjana pendapatan selepas mengalami kerugian teruk akibat pembatalan penganjuran Festival Good Vibes (GVF) di Sepang, baru-baru ini.
Seorang daripada vendor makanan tersebut yang juga pemilik sausagesizzlemy, Nazri Adam berkata melalui pembukaan tapak gerainya di Kembara Riuh selama tiga hari berturut-turut telah mencatatkan jualan melebihi RM15,000.
“Terima kasih KKD bantu kami mangsa (peniaga) yang terjejas dengan pembatalan GVF, hasil jualan sangat okay kerana Kembara Riuh ada jenama sendiri, jadi kami dapat lepasi sasaran kami yang ditetapkan sebelum masuk acara ini lagi,” katanya kepada Bernama.
Seorang lagi peniaga, Ima Sallyza Ishak berkata peluang yang diberikan untuk berniaga di Kembara Riuh umpama ‘keajaiban’ selepas mengalami kerugian mengejut akibat pembatalan GVF.
“Perniagaan kami baru memasuki tahun kedua dan sangat bergantung kepada jualan di penganjuran acara seperti konsert. Jadi, apabila ada peluang ini, ia memberikan semangat baharu kepada kami untuk terus cekal berniaga,” katanya dan menambah hasil jualan turut memberangsangkan.
Seorang artis tempatan, Jaie yang turut terjejas dengan pembatalan penganjuran GVF berkata peluang diberikannya di Kembara Riuh sangat penting sebagai pendedahan kepada artis baharu sepertinya membuat lebih banyak persembahan di khalayak ramai.
“Perlu ada lebih banyak platform seperti ini di tempat yang berbeza supaya penggiat seni tempatan dapat menonjolkan bakat seni mereka,” katanya
Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menerusi perkongsian di Twitternya memuat naik gambar beramah mesra bersama dengan beberapa vendor dan peniaga di reruai Kembara Riuh edisi Selangor.
Menurut Fahmi, sebahagian vendor GVF telah dijemput untuk membuka reruai di Kembara Riuh edisi Selangor itu secara percuma dan sebahagian yang lain pula di Kembara Riuh Pulau Pinang yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Ogos ini.
Sebelum ini, Fahmi telah mengarahkan supaya baki dua hari penganjuran GVF dibatalkan susulan perilaku biadap band The 1975 pada hari pertama acara itu yang turut menyebabkan ramai pengusaha makanan dan artis tempatan terjejas. -Bernama
