[VIDEO] Amanah besar jaga kebajikan jemaah haji

LocalTravel
14 May 2026 • 12:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Amanah besar jaga kebajikan jemaah haji
Image from: [VIDEO] Amanah besar jaga kebajikan jemaah haji
Mustakim Mohamad menyampaikan amanat kepada petugas haji TH pada Majlis Perhimpunan Petugas Haji di Mekah, semalam. Foto TH
Image from: [VIDEO] Amanah besar jaga kebajikan jemaah haji
Sebahagian petugas haji TH tekun mendengar amanat yang disampaikan pada Majlis Perhimpunan Petugas Haji di Mekah, semalam

MAKKAH– Kepercayaan tinggi rakyat Malaysia terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) dalam mengurus dan menjaga kebajikan jemaah haji di Tanah Suci disifatkan sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab oleh setiap petugas haji negara.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, antara ungkapan yang paling menyentuh hati diterima pihaknya ialah apabila waris jemaah menyerahkan sepenuhnya ibu bapa mereka kepada TH untuk dijaga sepanjang berada di Tanah Suci.

**media[3520290]**

Menurutnya, ungkapan ringkas itu membawa makna besar kepada seluruh petugas haji kerana ia menggambarkan tahap kepercayaan dan harapan tinggi rakyat Malaysia terhadap TH.

“Begitu besarnya amanah yang kita galas jika kita selami sedalamnya kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan oleh anak-anak jemaah kepada kita semua.

“Mereka ini bukan sekadar jemaah haji, tetapi ibu bapa dan saudara-mara kita sendiri. Santunilah mereka sebaik dan seikhlas mungkin dengan jiwa yang tenang dan hati yang lapang,” katanya dalam nada sebak ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Petugas Haji di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, tahap kepuasan jemaah haji Malaysia terhadap perkhidmatan TH terus menunjukkan peningkatan apabila Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) musim haji lalu mencapai 93 peratus, melepasi sasaran asal sebanyak 85 peratus.

Katanya, pencapaian itu meliputi CSI Operasi Haji Tanah Air Fasa 1 sebanyak 97 peratus, Madinah (95 peratus), Mekah termasuk Masyair (85 peratus) serta Operasi Haji Tanah Air Fasa 2 sebanyak 96 peratus.

“Ini membuktikan komitmen dan disiplin tinggi petugas haji, pematuhan kepada SOP dan standard ISO serta semangat kerja berpasukan yang menjadi kekuatan utama operasi haji negara,” katanya.

**media[3520291]**

Menurut beliau, kualiti perkhidmatan TH bukan dibina dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil pengalaman lebih 60 tahun menguruskan operasi haji rakyat Malaysia.

Katanya, sepanjang tempoh itu pelbagai cabaran dan ujian berjaya diharungi dengan baik hasil usaha berterusan serta komitmen semua pihak terlibat.

“Ramai mungkin tidak sedar bahawa perkhidmatan Tabung Haji sebenarnya bertaraf dunia. Kita telah menerima Anugerah Labaytum daripada Kerajaan Arab Saudi sebanyak empat kali dalam tempoh empat tahun.

“Insya-ALLAH, kita akan terus berusaha memastikan pengiktirafan itu kekal menjadi milik Tabung Haji bagi musim haji 1447 Hijrah,” katanya.