PASIR MAS – Program Arafah #QuranHour 2026 disifatkan sebagai medium penting untuk menghidupkan kembali nilai kasih sayang, budi dan kesatuan ummah dalam masyarakat yang semakin berdepan pelbagai cabaran sosial.
**media[3519356]**
Imam Tua Masjid Jamek Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau dikenali Masjid Beijing, Armin Azhari Mamat berkata, program seumpama itu perlu diteruskan kerana al-Quran bukan sekadar dibaca ketika ibadah, sebaliknya menjadi panduan membentuk akhlak dan kehidupan manusia.
Menurut beliau, tema tahun ini yang menekankan konsep ‘ummah berbudi dan penyayang satu kebangkitan’ amat bertepatan dengan keadaan semasa masyarakat yang dilihat semakin hilang sifat penyayang dan kasih sesama insan.
“Kita ini satu ummah, satu keluarga, apabila ada sifat berbudi dan penyayang, masyarakat akan bersatu serta bangkit.
“Tetapi hari ini apabila hilang kasih sayang, berlaku pelbagai masalah termasuk jenayah dan pembunuhan yang kejam kerana manusia sudah hilang sifat ihsan,” katanya ketika ditemui pada jelalah kempen Arafah #QuranHour 2026 di Masjid Beijing, Rantau Panjang di sini pada Rabu.
Arafah #QuranHour akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 26 Mei ini bersamaan 9 Zulhijjah 1447H.
**media[3519365]**
Beliau yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berkata, penghayatan al-Quran melalui program berkenaan juga membuka ruang kepada masyarakat mendekati masjid tanpa mengira latar belakang.
“Kadang-kadang orang rasa nak belajar al-Quran kena jadi jemaah tetap masjid dahulu, sedangkan program seperti ini terbuka kepada semua.
“Apabila dihebahkan, masyarakat boleh tahu dan lebih ramai akan datang mendekati al-Quran,” katanya.
Menurut beliau, Masjid Beijing turut dibuka 24 jam untuk kemudahan musafir dan jemaah selain aktif menganjurkan kelas al-Quran bagi golongan dewasa serta kanak-kanak.
Sementara itu, penceramah motivasi, Nik Muhammad Nik Lib berkata, pengorbanan sebenar yang dibawa melalui Arafah #QuranHour bukan sekadar berkaitan ibadah korban, tetapi mendidik manusia mengorbankan sifat ego dan rasa kepemilikan terhadap dunia.
Menurut beliau, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS membawa mesej besar mengenai keikhlasan serta penyerahan diri sepenuhnya kepada ALLAH SWT.
“Bukan ALLAH mahu Nabi Ibrahim menyembelih anaknya semata-mata, tetapi ALLAH mahu ‘menyembelih’ rasa kepemilikan terhadap anak tersebut.
“Hari ini kita semua ada ‘Ismail’ yang perlu dikorbankan seperti keinginan kepada pujian manusia, kemewahan, pangkat dan pengiktirafan di media sosial,” katanya.
Beliau berkata, tema program tahun ini amat sesuai dengan keadaan masyarakat moden yang terlalu mengejar pengiktirafan manusia sehingga lupa kepada penilaian ALLAH SWT.
“Manusia hari ini terlalu mencari ‘like’, ‘followers’ dan penghargaan manusia sedangkan pengiktirafan sebenar ialah apabila kita diiktiraf oleh ALLAH.
“Sebab itu Surah Al-Muzzammil menekankan kekuatan jiwa melalui qiamullail, manakala Surah Al-Hajj mendidik manusia merendahkan ego dan menjadi hamba yang tidak sombong,” katanya.

