[VIDEO] Cahaya misteri biru ‘mendarat’ di Kuala Nerus

17 Sep 2026 • 10:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Cahaya misteri biru ‘mendarat’ di Kuala Nerus

PETALING JAYA – Penduduk di beberapa kawasan sekitar Kuala Nerus, termasuk Gong Badak dan Bukit Berangan, dikejutkan kemunculan cahaya berwarna biru di langit yang disusuli bunyi gegaran sebanyak dua kali awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.40 pagi, 17 September, sebelum pengalaman misteri itu tular di media sosial selepas seorang pengguna Threads berkongsi beberapa tangkap layar dan rakaman berkaitan kejadian.

Menurut perkongsian tersebut, cahaya berkenaan muncul ketika keadaan sekitar gelap dan lampu jalan dilaporkan terpadam sebelum kembali menyala kira-kira seminit kemudian.

Malah, beberapa pengguna media sosial mendakwa turut mengalami gangguan bekalan elektrik atau ‘blackout’ sebanyak dua kali dalam tempoh antara pukul 1 hingga 2 pagi.

“Betul tadi blackout dua kali, tapi dalam masa satu, dua saat je,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi pengguna mendakwa kawasan kediamannya turut mengalami gangguan pada kipas yang dikatakan berfungsi seketika sebelum terhenti dan berulang beberapa kali.

“Kipas rumah saya berhenti sekejap, lampu menyala. Agak pelik juga kejadian semalam,” ujarnya.

Perkongsian berkenaan turut memuatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) daripada seorang jiran yang memaparkan keadaan kawasan pada sekitar 1.40 pagi, dengan cahaya terang kelihatan menerangi persekitaran.

Bagaimanapun, pemilik perkongsian berkenaan menjelaskan cahaya yang dirakam CCTV kelihatan berwarna biru, berbeza dengan cahaya hijau yang didakwa dilihatnya secara langsung.

Dalam pada itu, kemunculan cahaya misteri berkenaan mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen, termasuk dakwaan ia berpunca daripada pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang meletup, selain ada yang mengaitkannya dengan fenomena meteor.

Tidak kurang juga pengguna media sosial yang mengaitkan kejadian tersebut dengan perkara mistik, namun dakwaan berkenaan masih tidak mempunyai pengesahan.

Setakat ini, punca sebenar cahaya dan bunyi gegaran yang dilaporkan penduduk Kuala Nerus itu masih belum dapat dipastikan. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

The post [VIDEO] Cahaya misteri biru ‘mendarat’ di Kuala Nerus appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved