[VIDEO] 'Content Creater' pandu Lamborghini tapi tiada lesen

LocalCars
9 Apr 2025 • 7:51 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

image is not available
Kereta mewah yang disita dalam operasi bersepadu di Jalan Bangsar pada Selasa.

image is not available
Penunggang motosikal yang diperiksa dalam operasi bersepadu di Jalan Bangsar, di sini, pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang memandu sebuah kereta mewah jenis Lamborghini Aventador ditahan kerana tiada lesen memandu dalam operasi bersepadu di Jalan Bangsar, pada Selasa.

Lelaki berusia 28 tahun yang juga seorang pencipta kandungan itu memandu kereta berkenaan dalam perjalanan pulang ke Damansara Heights selepas menghadiri majlis pelancaran sebuah restoran makanan segera di Kepong.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, kereta yang dipandu lelaki warga China itu antara 27 kenderaan yang disita dalam operasi bersepadu itu.

"Dalam operasi tersebut, kita telah memeriksa sebanyak 1,627 kenderaan, daripada jumlah itu, sebanyak 211 kenderaan telah dikenakan tindakan penguatkuasaan.

"Kita turut menyita 24 motosikal, dua kenderaan barangan dan sebuah kereta," katanya pada sidang akhbar di Jalan Bangsar, di sini, pada Selasa.

**media[3076951]**

Hamidi berkata, operasi itu melibatkan 115 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi antaranya JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Kita juga telah mengeluarkan 463 notis melibatkan pelbagai kesalahan seperti memandu tanpa lesen, tiada lesen vokasional, tiada cukai jalan, tiada insurans, dan pengubahsuaian kenderaan,” katanya.

Hamidi berkata, JSPT telah memeriksa 60 kenderaan dan mengeluarkan 30 saman.

“JIM pula telah memeriksa 29 warga asing dan menahan seorang lelaki dan dua wanita warga Indonesia,

“AADK turut menjalankan ujian saringan air kencing ke atas 37 individu dan menahan dua lelaki dan seorang wanita kerana positif dadah jenis ganja," katanya.

**media[3076950]**

Dalam perkembangan berasingan, Hamidi berkata, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 4,559 notis atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 (Ops HRA) yang berlangsung selama 14 hari bermula 24 Mac hingga 8 April lalu.

"Sebanyak 15,490 buah kenderaan telah diperiksa di beberapa lokasi utama sekitar ibu negara termasuk Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Terminal Bersepadu Gombak (TBG), lebuh raya serta jalan-jalan utama.

"Hasil pemeriksaan mendapati 1,729 kenderaan diambil tindakan, manakala 24 buah kenderaan turut disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)," katanya.

Beliau berkata, operasi tersebut dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya terutama ketika musim perayaan.

“Melalui strategi penguatkuasaan dan advokasi, usaha ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.