
BALAKONG – Cubaan sekumpulan warga asing meloloskan diri ketika serbuan operasi bersepadu di sebuah kilang di sini pada Rabu gagal apabila kawasan berkenaan dikepung Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Serbuan yang dijalankan antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari itu menyaksikan beberapa individu bertindak cuba melarikan diri ke kawasan semak di belakang kilang serta melalui bumbung sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
Tinjauan di lokasi mendapati premis berkenaan turut menyediakan kemudahan asrama kepada pekerja asing, termasuk pendingin hawa dan pelbagai kemudahan lain.
Asrama yang terletak di tingkat atas premis itu dipercayai menempatkan antara dua hingga 12 pekerja dalam satu bilik mengikut negara asal masing-masing.
Selain itu, pemeriksaan turut menemui peti sejuk yang mengandungi barangan peribadi termasuk minuman keras.
Seorang pekerja warga Bangladesh, Arif, 22, mengakui bekerja di kilang itu sejak tiga tahun lalu selepas dibawa oleh rakan.
“Gaji RM1,750, campur kerja lebih masa boleh dapat antara RM3,000 hingga RM4,000.
“Asrama pun percuma disediakan majikan, bilik ada pendingin hawa, saya selesa bekerja di sini,” katanya.
Menurutnya, kemudahan lengkap yang disediakan menjadi antara faktor utama dia terus kekal bekerja di premis berkenaan.
Bagaimanapun, dia mengakui cuba melarikan diri ketika serbuan kerana bimbang ditahan berikutan dokumen tidak lengkap.
**media[3485373]**
Seorang lagi pekerja, Aditya, 25, dari Medan, Indonesia berkata, dia mula bekerja di kilang itu selepas memasuki Malaysia menggunakan pas pelancong pada tiga tahun lalu.
"Keputusan itu dibuat selepas diajak adiknya yang lebih awal bekerja di negara ini. Saya datang untuk menyara anak yang baharu berusia tiga tahun," katanya.
Aditya turut mengakui cuba melarikan diri ketika serbuan, namun membatalkan niat selepas kawasan itu dikepung pegawai penguat kuasa.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 133 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu melibatkan beberapa premis kilang di dua lokasi iaitu di Shah Alam dan Balakong, Selangor.
"Seramai 162 warga asing telah diperiksa dalam serbuan berkenaan, dengan majoritinya didapati melanggar undang-undang imigresen.
“Kesemua yang ditahan adalah untuk siasatan lanjut sebelum tindakan susulan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Pakistan, Vietnam dan China, dengan kebanyakannya lelaki berusia antara 20 hingga 45 tahun.
"Operasi bersepadu itu turut melibatkan beberapa agensi penguat kuasa lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menyasarkan kilang," katanya.
Menurutnya, dalam operasi sama, Kastam turut mengesan kesalahan membabitkan rokok seludup serta minuman keras tidak bercukai.
“Selain itu, antara kesalahan imigresen yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen sah, tiada permit kerja yang sah serta penyalahgunaan permit dengan bekerja dalam sektor yang tidak diluluskan.
“Terdapat juga individu yang masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial tetapi bekerja secara tidak sah,” katanya.

