![Image from: [VIDEO] ‘Dia fikir datang KL jadi gelandangan mudah dapat duit!’](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-05-at-11.11.35-AM-1024x905.jpeg)
PETALING JAYA – Seorang wanita dipercayai sanggup membawa lima anaknya hidup bergelandangan di Jalan Silang, Kuala Lumpur kerana beranggapan kehidupan di jalanan memudahkannya memperoleh wang.
Lebih memeranjatkan, wanita berkenaan didakwa sebenarnya menerima lebih RM1,500 sebulan daripada empat anaknya yang sudah bekerja selain bantuan bulanan zakat sebanyak RM500.
Perkara itu dikongsikan oleh Ketua Aktivis dan Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohamad Azhan Mohamed Adnan atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae di media sosial, semalam.
Menurut Abbe Hae, wanita berkenaan diselamatkan selepas beliau menerima aduan orang ramai sebelum menempatkannya bersama lima anak di transit gelandangan di Lorong Haji Taib.
Menurutnya, ahli keluarga turut memaklumkan hampir setahun mereka mencari wanita terbabit kerana dia sering melarikan diri, sukar dihubungi dan hanya menghubungi anak-anak apabila memerlukan wang.
Lebih mengecewakan, dakwanya, wang yang diterima setiap bulan boleh dihabiskan dalam tempoh satu atau dua hari bagi memenuhi perbelanjaan, sedangkan anak-anaknya yang bekerja bukan bergaji besar dan terpaksa berkorban demi menyara ibu mereka.
“Dia boleh habiskan RM1000 dalam satu dua hari sahaja untuk belanja anak-anak kecil ni makan mewah.
“Untuk menyedarkan perempuan ini supaya kembali normal, Abbe terpaksa rukyah dia sedas dua. Perempuan ni hidupnya suka lari-lari daripada keluarga,” katanya.
Abang Hae berkata, wanita itu dipantau sementara atas permintaan keluarga bagi mengelakkannya melarikan diri sekali lagi sebelum salah seorang anaknya sanggup menaiki dua bas dari Kelantan ke Kuala Lumpur untuk menjemput ibunya pulang.
“Alhamdulillah kes dah selesai. Abbe dah berikan amaran keras padanya bahawa Abbe terpaksa ambil anak anaknya dan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat jika buat hal lagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] ‘Dia fikir datang KL jadi gelandangan mudah dapat duit!’ appeared first on Kosmo Digital.
