[VIDEO] Fadhlina nafi KPM keluarkan lima hadis

8 Sep 2023 • 6:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fadhlina mengambil peluang bertemu pengunjung Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Media Karangkraf pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

SHAH ALAM- [DIKEMAS KINI] "Tidak betul," tegas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berhubung dakwaan kementerian telah mengeluarkan lima hadis daripada Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Jelasnya, kementerian masih dalam proses untuk memuktamadkan hadis tersebut dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak.

"Saya fikir perlu beri ruang kepada kita dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk perhalusi isu ini agar ia berjaya dilaksanakan untuk anak-anak Muslim dan sekolah agama," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi Town Hall Sinar Harian bersama Menteri Pendidikan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy bahawa KPM telah mengeluarkan lima hadis.

Antara yang didakwa dikeluarkan termasuklah hadis kelapan melibatkan hadis perintah ALLAH SWT kepada Rasulullah SAW untuk memerangi manusia yang belum bersaksi bahawa tiada tuhan selain ALLAH dan Muhammad utusan ALLAH sehingga mereka menerima Islam, mendirikan solat dan membayar zakat.

Ditanya mengenai ada kemungkinan antara hadis tersebut digugurkan, Fadhlina berkata:

"Kami sedang memuktamadkan," ujar beliau.

Modul penghayatan hadis itu dilancarkan pada Ogos lalu bertujuan untuk memupuk nilai-nilai sabda atau hadis Rasulullah SAW di peringkat sekolah.

Modul itu akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.