(VIDEO) Hulur tangan dan salam ‘pak guard’, amalan murid SK Luagan undang sebak

10 Nov 2022 • 3:17 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available

Video yang dimuat naik Azwan Mahmin di laman sosial Facebook dan TikTok baru-baru ini telah mengundang rasa sebak di hati seluruh rakyat Malaysia.

Mana tidaknya, video yang memaparkan sekumpulan murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Luagan, Keningau, Sabah, bersalaman dengan pengawal keselamatan setibanya mereka di sekolah memberi kesan mendalam kepada semua orang.

Amat jarang melihat situasi sebegini berlaku dalam kalangan murid-murid kita.

Namun tidak bagi anak-anak SK Luagan. Mereka tanpa segan silu pantas menghulurkan tangan dan bersalaman dengan pengawal keselamatan yang berada di pintu masuk sekolah.

Azwan Mahmin dalam hantaran tersebut turut menulis, “Assalamualaikum, terlebih dahulu mohon maaf pada pihak sekolah dan pada sesiapa yang terlibat kerana mengambil video secara curi-curi.

“Saya rasa tersentuh dengan budaya yang diterapkan pada semua pelajar sekolah ini untuk menghormati semua golongan iaitu orang yang lebih tua dan seperti dalam video yang diambil secara curi-curi ini.

“Tahniah kepada semua kakitangan sekolah dan ibu bapa. Saya rasa sangat bangga dengan melihat budaya yang diamalkan di sekolah ini. Ia merupakan antara satu nilai didikan moral terbaik,” tulisnya.

Perkongsian video tersebut yang tular di media sosial telah meraih 549,200 jumlah tontonan, 63,800 tanda suka dan 4,417 komen positif daripada orang ramai.

Rata-rata memuji sikap dan cara murid-murid SK Luagan ini menghormati pengawal keselamatan mereka.

Antara komen-komen yang sempat dipetik Sinar Bestari adalah

Radja Bungkar: Didikan yang sempurna, saling hormat-menghormati tanpa mengira pangkat dan darjat.

Arsi Ai: Nilai sangat baik yang sebenarnya paling asas telah diajarkan di sekolah ini. Tahniah! Guru-guru SK Luagan, Keningau, Sabah.

Paula Primus: Alhamdulillah, terharu saya tengok video ‘pak guard’ ini dihormati oleh anak murid.

Amar Fallahi: Satu contoh yang sangat baik. Salute!

Karlhanz Nichol: Pak guard rasa dihargai. Motivasi untuk dia terus bekerja di sekolah itu. Sejuk perut mak mengandungkan murid-murid berkenaan.

Garry Subat: Luar biasa. Respect pada anak-anak dan ibu bapa. Inilah kehidupan sebenar.

Akhir sekali, kami di Sinar Bestari mengucapkan syabas dan salute dengan perilaku adik-adik dari SK Luagan. Teruskanlah berbuat baik dengan semua orang.

Semoga kalian menjadi insan yang cemerlang dan disegani ramai.

Artikel berkaitan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok